KANGAR: Dasar berkaitan beras negara sudah lapuk serta jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain sekali gus menjadi punca kepada permasalahan yang membelenggu petani, pengilang dan pengguna ketika ini.
Antara kelemahan paling ketara, apabila harga beras di Malaysia masih kekal pada kadar RM2.60 sekilogram atau RM26 bagi berat 10 sekilogram yang tidak pernah disemak sejak hampir 20 tahun lalu di sebalik harga beras di negara-negara lain sudah jauh lebih tinggi.
Di Thailand harga bagi sekilogram beras RM3.70, Indonesia (RM4), Singapura (RM5), Filipina (RM4) dan Vietnam iaitu negara pengeluar beras juga mencecah RM4.60.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, harga siling beras yang rendah itu sudah tidak sesuai dengan harga belian padi ditetapkan pada masa ini.
Katanya, masalah yang membelenggu pesawah berikutan harga belian padi menjunam kepada RM1,300 itu juga berkait rapat dengan masalah harga beras yang rendah, dengan kebanyakkan pengilang sudah tidak mampu lagi membeli padi dengan harga tinggi.
Marzukhi berkata, para pengilang mencadangkan beras diseragamkam kepada satu label sahaja dengan campuran import dan tempatan seterusnya kerajaan menetapkan pada satu harga antara RM32 hingga RM34 iaitu masih jauh lebih rendah berbanding negara lain.
Katanya, jika tidak diseragamkan harga, beras tempatan berharga RM26 itu tetap juga tidak ada di pasaran kerana para pengilang besar yang mempunyai syarikat pemborong sendiri ini sudah lama mencampurkan beras tempatan dan import seterusnya dijual pada label import dengan harga lebih RM40.
“Jika pengilang membeli padi dengan harga sehingga RM1,300 akan menyebabkan mereka terus mengalami kerugian. Harga beras bagi berat RM26 itu sebenarnya ketika harga belian padi pada masa itu sekitar RM950.
“Saya sendiri sebagai pengilang sudah mengalami kerugian sehingga mencecah RM10 juta dalam tempoh dua tahun ini, malah dua kilang saya sudah berhenti operasi.
“Disebabkan dasar yang lapuk itu lagi, hampir 100 peratus kilang-kilang beras bumiputera sudah gulung tikar iaitu daripada keseluruhan 147 buah kilang di seluruh negara, namun kini hanya tinggal tujuh bertahan dan itu pun menanti masa untuk ‘bungkus’ apabila sudah tidak mampu lagi menanggung kerugian.
“Demi menjaga semua pihak (pesawah, pengilang dan pengguna), kita minta benda-benda lapuk ini disemak semula khususnya harga beras yang sudah tidak relevan dengan harga semasa belian padi,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini, melaporkan, himpunan yang diadakan pesawah di seluruh negara bagi menuntut harga lantai belian padi kepada RM1,800 per tan metrik bukan sekadar suka-suka, sebaliknya harapan mereka agar kerajaan mendengar rintihan dan kesusahan golongan berkenaan.
Kata Marzukhi, dasar yang lapuk itu menyebabkan pengguna ditipu apabila membeli beras ‘tempatan’ pada harga import di pasaran.
Katanya, di dalam kampit beras import yang berada di pasaran mengandungi 60 peratus beras tempatan namun pengguna membayar pada harga melebihi RM40 sekampit.
“Setahun, kita hasilkan 64 peratus keperluan beras tempatan atau 1.8 hingga dua juta tan metrik manakala import pula sekitar 900 hingga 1.2 juta tan metrik setahun. Tapi disebabkan dasar yang lapuk, pengguna menikmati beras ‘tempatan’ pada harga import.
“Kita sudah jauh ketinggalan dengan negara lain,” katanya.










