PERTUMBUHAN dalam pasaran hartanah runcit melibatkan pusat beli-belah dilihat terus berkembang dari tahun ke tahun sejajar pasaran hartanah secara keseluruhan yang menyaksikan peningkatan dalam kitaran ekonomi.
Permintaan domestik yang meningkatan, di samping pertumbuhan kejiranan baharu dilihat akan terus memacu pertumbuhan dalam sektor ini.
Tahun 2025, pastinya akan menyaksikan kemunculan hartanah runcit baharu bagi memenuhi permintaan dalam pasaran.
Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Konsultasi Knight Frank Malaysia, Amy Wong berkata, pasaran runcit Lembah Klang akan berkembang dengan ruang berorientasikan komuniti.
Katanya, pasaran ini dijangka berkembang sebanyak 1.0 juta kaki persegi pada separuh pertama 2025, termasuk dua pusat membeli-belah kejiranan yang memenuhi permintaan yang meningkat untuk pengalaman runcit yang berfokuskan komuniti.
“Pasaran runcit Malaysia menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku pengguna, dengan penekanan yang semakin meningkat pada ruang runcit yang berpusatkan kejiranan dan pengalaman.
“Sektor ini kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik, inisiatif kerajaan dan penyepaduan teknologi yang dipacu konsep runcit.
“Projek baharu seperti Bloomsvale Shopping Gallery, Elmina Lakeside Mall dan 168 Park Mall menekankan peralihan ke arah persekitaran runcit yang berfokuskan komuniti,” katanya ketika membentangkan mengenai prospek pasaran runcit baru-baru ini.
Beliau berkata, jualan runcit Malaysia disokong oleh permintaan domestik dan pelancongan
“Jualan runcit meningkat 3.8 peratus pada suku ketiga 2024, dengan pertumbuhan dijangka mencapai 4.4 peratus pada suku keempat 2024, dipacu oleh inisiatif kerajaan dan jualan akhir tahun Malaysia.
“Keyakinan pelabur dicerminkan dalam pemerolehan runcit utama termasuk Tropicana Gardens Mall dan DPulze Shopping Gallery, menggariskan permintaan yang teguh untuk aset berkualiti tinggi,” ujarnya.
Pada Julai 2024, IOI Properties Bhd. memperoleh Tropicana Gardens Mall di Petaling Jaya dengan harga RM680 juta.
Pusat beli-belah tujuh tingkat itu, dengan kawasan boleh disewa bersih (NLA) seluas 1.05 juta kaki persegi dan 77 peratus penghunian, terletak di strategik berhampiran stesen Transit Aliran Massa (MRT) Surian dan lebuh raya utama.
Pemerolehan itu sejajar dengan strategi IOI Properties untuk mengembangkan kehadiran runcitnya di Lembah Klang, memanfaatkan lokasi utama dan ketersambungan pusat beli-belah itu.
Sementara itu, Amy berkata, dasar kerajaan dijangka mempengaruhi perbelanjaan runcit pada tahun ini.
“Inisiatif tertumpu isi rumah menyokong keperluan penting, walaupun pengembangan Cukai Perkhidmatan (ST) dan rasionalisasi subsidi mungkin memberi kesan kepada corak permintaan.
“Peruncit mengguna pakai konsep inovatif untuk menarik pelanggan dan kekal relevan dalam landskap pasaran yang berkembang,” ujarnya.-UTUSAN










