Tengku Maimun ingatkan badan peguam

Tengku Maimun ingatkan badan peguam

TENGKU Maimun Tuan Mat (empat, kiri) beramah mesra dengan ahli jawatankuasa Majlis Peguam Negeri Sembilan sebelum majlis perasmian persidangan badan itu di Seremban, semalam. - UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Badan kehakiman bukan institusi politik dan ia tidak boleh dan tidak akan melobi untuk meraih sokongan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, sokongan daripada badan peguam amat diharapkan ketika institusi kehakiman di negara ini dihujani dengan serangan pelbagai pihak.

Katanya, institusi itu juga tidak lazim membuat kenyataan akhbar untuk mempertahankan diri kerana para hakim diadili sepenuhnya dengan tugas dan penghakiman yang dibuat.

“Tetapi ada masanya badan kehakiman menjadi bahan serangan. Siapa sangka bahawa institusi yang berfungsi melin­dungi ketidakadilan kelihatan seperti tidak berdaya (menahan serangan).

“Pada masa itulah sokongan daripada badan peguam menjadi amat diperlukan dan para peguam akan perhatikan bahawa ini adalah aspek penting dalam advokasi,” katanya me­rasmikan Persidangan Majlis Peguam Negeri Sembilan sempena ulang­tahun ke-60 badan tersebut di sini, semalam.

Tengku Maimun menarik perhatian, para peguam mesti mengingatkan rakan sekerja mereka dan para pelanggan me­ngenai keperluan untuk menghormati keputusan mahkamah.

Sekiranya tidak bersetuju, jelasnya, terdapat jalan penyelesaian lain mengikut undang-undang.

“Apabila ada peguam sendiri yang mengejek atau menyebarkan viral mengenai badan kehakiman ia ibarat memotong hidung sendiri untuk memaparkan wajah yang hodoh,” katanya.

“Apabila persepsi awam telah terjejas, orang ramai akan hilang keyakinan terhadap badan kehakiman dan pentadbiran keadilan yang mana para peguam yang menjadi sebahagian daripadanya akan turut sama runtuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×