PETALING JAYA: Tiada mana-mana pemain yang akan menerima layanan istimewa untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada masa akan datang termasuk pemain warisan dan naturalisasi.
Pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski sebaliknya berkata, semua pemain akan diberi peluang sama rata dengan pemain yang berjaya memikatnya akan mendapat tempat.
“Saya sangat bangga dapat menjadi pengendali Malaysia dan saya lihat kita sudah ada asas yang kukuh. Namun, ada beberapa kelemahan yang perlu kita perbaiki dalam usaha ke arah yang lebih baik.
“Apa yang pasti, saya teruja untuk berjumpa dan menjalinkan kerjasama dengan semua pihak terutama barisan pemain.
“Semua pemain akan memiliki peluang untuk bersama skuad kebangsaan tidak kira anda sebagus mana pun atau berapa umur anda tetapi jika anda dapat buktikan keupayaan, anda layak (dipanggil).
“Saya mahu sesiapa sahaja yang dipanggil dapat berikan sepenuh jiwa untuk memastikan penyokong kita teruja dengan apa yang bakal mereka saksikan (di atas padang),” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Pelantikan Cklamovski yang berasal dari Australia adalah sebahagian daripada revolusi yang dicetuskan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi melonjakkan lagi prestasi skuad negara di pentas dunia.
Beliau berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan termasuk pernah menjadi penolong jurulatih Australia serta membimbing beberapa kelab di Liga Jepun diletakkan sasaran untuk memastikan Malaysia layak ke Piala Asia 2027 nanti.
Selain itu, Cklamovski berharap semua pihak tidak memberi tekanan berlebihan kepada skuad kendaliannya dengan meminta penyokong lebih realistik dengan pasukan baharu yang bakal dibentuk.
“Seperti saya katakan, usaha keras adalah kunci kejayaan. Banyak kerja yang perlu dilakukan.
“Kita boleh mengimpikan sesuatu yang besar, tapi kita kena sedar dan perlu sentiasa ‘humble’ dan berusaha keras untuk mencapai sasaran,” kata Cklamovski.
Tugasan pertama Cklamovski adalah mengharungi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadual berlangsung pada Mac ini di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan F bersama juara ASEAN, Vietnam, Laos serta Nepal. – UTUSAN











