Westports catat untung bersih RM256.7 juta - Utusan Malaysia

Westports catat untung bersih RM256.7 juta

Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Westports Holdings Bhd. mencatatkan keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM256.7 juta bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2024, meningkat 25 peratus berbanding RM206.1 juta tahun sebelumnya, didorong oleh peningkatan hasil kontena.

Hasil suku tahunan meningkat 22 peratus kepada RM675.4 juta, berbanding RM554.1 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan mengisytiharkan dividen sebanyak 10.86 sen sesaham, yang akan dibayar pada 21 Februari, menjadikan dividen setahun penuh mencapai rekod tertinggi 19.75 sen sesaham, meningkat daripada 16.91 sen tahun lalu.

Menurut pemfailan pengendali pelabuhan itu dengan Bursa Malaysia, pendapatan sesaham (EPS) bagi suku tersebut juga meningkat kepada 10.86 sen daripada 8.72 sen, 

“Bagi tahun kewangan penuh yang berakhir pada 31 Disember 2024, keuntungan bersih meningkat 15 peratus tahun ke tahun kepada RM898 juta atau 26.33 sen sesaham, berbanding RM779.4 juta atau 22.86 sen sesaham pada tahun sebelumnya. 

“Hasil setahun penuh meningkat sembilan peratus tahun ke tahun kepada RM2.34 bilion daripada RM2.15 bilion.

“Keputusan tahun kewangan 2204 ini merupakan pencapaian tertinggi bagi Westports dari segi keuntungan bersih dan hasil sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2013,” katanya. 

Dalam kenyataan berasingan, Westports berkata, ia telah mengendalikan rekod 10.98 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena pada 2024, termasuk rekod baharu 4.91 juta TEU bagi jumlah kontena import-eksport, yang menyokong aktiviti ekonomi domestik.

“Pada asas bulanan, kumpulan itu turut mencatatkan rekod 1.01 juta TEU yang dikendalikan pada Disember.

“Selain itu, segmen konvensional Westports menguruskan 12.19 juta tan metrik kargo pukal, didorong oleh peningkatan jumlah kargo projek, produk keluli, dan jongkong keluli.

“Hasilnya, bersama dengan kadar yang disemak ke atas, Westports akan membuat pembayaran rekod sebanyak RM110.51 juta kepada pihak berkuasa pelabuhan tempatan,” katanya. 

Melangkah ke hadapan, kumpulan itu menjangkakan Intra-Asia kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah kontena, tetapi mengunjurkan pertumbuhan jumlah kontena pada kadar satu digit rendah bagi tempoh kewangan seterusnya.

“Unjuran ini mencerminkan ketegangan yang berterusan di Timur Tengah, fokus tempatan oleh pentadbiran baharu AS, serta momentum pertumbuhan yang perlahan di negara-negara maju.

“Westports juga merancang memperluaskan terminal kontenanya dari CT10 hingga CT17, yang secara efektif akan menggandakan kapasiti daripada 14 juta kepada 28 juta TEU setiap tahun menjelang 2082, dengan jumlah perbelanjaan modal yang diunjurkan sebanyak RM39.6 bilion.

“Pembiayaan untuk pengembangan ini akan datang daripada sukuk wakalah bernilai RM5 bilion, dana yang dijana secara dalaman, serta rancangan pelaburan semula dividen (DRP) yang dicadangkan selama lima tahun,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×