PETALING JAYA: Barisan pemain warisan Harimau Malaya dikatakan sudah dikenal pasti, namun dipercayai kebenaran untuk membolehkan mereka beraksi di negara ini masih menunggu kelulusan kerajaan.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail telah memohon kerjasama daripada Kerajaan Malaysia bagi membantu memudahkan urusan kemasukan beberapa pemain warisan ke negara ini..
“Kami mengenal pasti enam hingga tujuh pemain warisan untuk pasukan Harimau Malaya.
“Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia agar mereka dapat bermain untuk Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai Mac ini,” kata Tunku Mahkota Ismail.
Kenyataan itu menunjukkan bahawa, senarai enam hingga tujuh pemain warisan gred A hanya akan diumumkan oleh Tunku Mahkota Ismail atau barisan pengurusan Harimau Malaya diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Robert Friend setelah mereka mendapat lampu hijau.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan mencampuri urusan pengambilan pemain warisan kerana kuasa penuh itu di bawah pengurusan baharu skuad Harimau Malaya yang dipimpin ketua pegawai eksekutifnya, Robert Friend.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata. pihaknya bagaimanapun akan membantu menguruskan dokumentasi dan beberapa perkara lain.
“FAM akan membantu dalam urusan dokumentasi dan beberapa perkara lain. Paling penting adalah memastikan skuad Harimau Malaya mampu meraih kejayaan pada kejohanan akan datang,” katanya.
Sebelum ini Tunku Mahkota Ismail mendedahkan pasukan negara bakal diperkuatkan sekurang-kurangnya enam hingga tujuh pemain warisan gred A.
Situasi itu bakal menyaksikan skuad kendalian Peter Cklamovski tampil dengan wajah baharu dalam saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 yang turut menampil Vietnam, Nepal dan Laos. – UTUSAN











