PUTRAJAYA: Sebanyak 8.3 juta penerima manfaat Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 mula menikmati bantuan itu hari ini membabitkan peruntukan berjumlah RM2.3 bilion.
Peruntukan itu meningkat daripada RM2.1 bilion tahun lalu, selepas kerajaan menaikkan kadar bantuan maksimum untuk isi rumah hampir 25 peratus kepada RM4,600 daripada RM3,700 tahun lalu.
Kadar minimum untuk golongan bujang juga ditingkatkan sebanyak 20 peratus kepada RM600 daripada RM500 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan itu jauh melangkaui kadar inflasi negara, yang mencerminkan tekad kerajaan memastikan kebajikan sebilangan besar rakyat bertambah baik, meskipun berlaku peningkatan kos sara hidup.
“Walaupun peningkatan kos sara hidup fenomena melanda seluruh dunia, besarlah harapan Kerajaan Madani agar peningkatan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan STR saban tahun dapat membantu rakyat menggapai kehidupan lebih berdarjat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Minggu lalu, kerajaan sudah membuat penyaluran SARA melibatkan 700,000 penerima manfaat dalam kategori miskin dan miskin tegar mengikut rekod eKasih.
Jumlah bantuan itu juga ditingkatkan yang mana penerima bakal memperoleh sebanyak RM2,100 untuk tahun ini, berbanding RM1,200 pada 2024.
Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi Januari hingga Mac tahun ini, dan ditingkatkan kepada RM200 sebulan mulai April depan.
Menurut Kementerian Kewangan, secara keseluruhan, program STR dan SARA pada tahun ini akan memanfaatkan hampir sembilan juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa.
Pembayaran STR Fasa 1 disalurkan secara berperingkat kepada penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank penerima atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.
Permohonan baharu dan kemas kini bagi STR akan dibuka sepanjang tahun.
Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan. – UTUSAN










