RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengucapkan tahniah kepada Presiden, Amerika Syarikat (AS), Donald Trump atas pelantikannya dan memaklumkan beliau bersedia bekerjasama untuk usaha perdamaian dengan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara.
Beliau berkata, ia bermaksud negara Palestin dan negara Israel hidup bersebelahan dalam keselamatan dan keamanan demi memastikan kestabilan di rantau Asia Barat dan dunia.
“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan Trump untuk mencapai keamanan sepanjang tempoh pentadbirannya, berdasarkan penyelesaian dua negara,” katanya dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh agensi berita rasmi WAFA.
Dalam penggal pertama Presidennya dari 2017 hingga 2021, pentadbiran Trump menyusun cadangan damai yang akan melibatkan Israel menjajah sebahagian besar Tebing Barat yang diduduki sambil menyerahkan beberapa wilayah kepada negara Palestin sebagai balasan.
Palestin menolak keras cadangan itu dan Israel meninggalkan rancangan rampasannya apabila negara-negara Teluk Arab menormalkan hubungan dengannya di bawah perjanjian yang diuruskan oleh AS.
Trump mendakwa turut memberi sumbang besar untuk mendapatkan gencatan senjata dalam perang Israel-Hamas di Gaza, dengan utusan Asia Baratnya, Steve Witkoff mengambil bahagian dalam rundingan yang akhirnya menghasilkan perjanjian yang berkuat kuasa pada Ahad lalu.
Penyelesaian dua negara menjadi asas kepada rundingan damai antara Israel dan Palestin sejak beberapa dekad lalu, tetapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berulang kali enggan menerima negara Palestin yang merdeka.
Beliau juga menolak sebarang peranan untuk Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpangkalan di Ramallah, yang diketuai Mahmoud di Semenanjung Gaza selepas perang berakhir.
Pada Jumaat lalu, Mahmoud berkata, PA bersedia untuk memikul tanggungjawab penuh mentadbir Gaza.
Raja Jordan Abdullah II juga mengucapkan tahniah kepada Trump dan menyeru beliau bekerjasama mengekalkan keamanan di rantau itu.
“Kami sangat menghargai perkongsian kami dengan AS dan komited untuk bekerjasama dengan Trump ke arah dunia yang lebih makmur dan aman,” katanya.-AFP










