Visa tunggal ASEAN jadi agenda Malaysia

Visa tunggal ASEAN jadi agenda Malaysia

MOHAMAD Hasan (enam dari kiri) bersama rakan sejawat sempena Pemukiman Menteri Luar ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, Kedah, semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Perancangan dan pelaksanaan visa tunggal pelancong menjadi satu daripada agenda utama Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia selaras dengan konsep integrasi dan kebersamaan yang diketengahkan dalam tema tahun ini, me­nyaksikan semua negara anggota bekerjasama meningkatkan pertumbuhan ekonomi antara satu sama lain.

“Ramai orang datang ke Malaysia dan kemudian mereka mahu ke Singapura atau Thailand atau dari Thailand mereka datang ke Malaysia.

“Tapi terdapat beberapa se­katan dengan semuanya melibatkan isu pentadbiran.

“Kita perlu meneliti perkara ini bersama-sama bagi memastikan pelancong yang masuk ke Malaysia bebas untuk pergi ke negara ASEAN yang lain tanpa sekatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN, di sini semalam.

Mohamad berkata, antara idea yang dibincangkan diperingkat awal termasuk konsep pemeriksaan ketika memasuki sempadan ASEAN, seperti Visa Schengen yang dilaksanakan di Kesatuan Eropah (EU).

Visa Schengen membolehkan pelancong bergerak bebas di 22 negara EU tanpa visa individu untuk setiap negara.

Dalam perkembangan lain, penyertaan penuh semua negara anggota ASEAN amat diperlukan selaras dengan prinsip ke­terangkuman yang menjadi satu daripada tema kepengerusian Malaysia tahun ini.

Mohamad yang merujuk ke­pada Timor-Leste berkata, pe­nyertaan negara itu yang kini berstatus pemerhati perlu di­sokong kesemua 10 negara ASEAN lain.

“Menerusi usaha ini, kami berharap ia akan diterjemahkan dalam keanggotaan ASEAN bahawa Asia Tenggara bukan rantau dengan 10 negara tetapi 11. Kita amat galakkan penyertaan penuh daripada semua negara serantau.

“Kesemua 11 negara ini berhak untuk turut serta sepenuhnya dalam sebuah organisasi yang memperjuangkan kesejahteraan serantau,” katanya dalam ucaptama Pemukiman Menteri Luar ASEAN di sini, semalam.

Pada sesi kali ini, Timor-Leste disertai Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasamanya, Bendito Freitas sebagai pemerhati.

Mohamad berkata, kredibiliti ASEAN bergantung kepada kemampuannya menegakkan prinsip yang diperjuangkan, sambil menggesa semua negara anggota menukar retorik kepada tindakan.

“Kita berharap semua negara anggota mengambil maklum bahawa jika kita tidak menunjukkan keterangkuman dalam organisasi kita, semua retorik kita akan menjadi kosong.

“Kita mesti mengotakan kata-kata dan membuktikan kepercayaan serta sokongan terhadap satu sama lain,” katanya.

Timor-Leste diiktiraf sebagai negara pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keanggotaan penuh pada 4 Mac 2011.

Tahun lalu, Mohamad berkata, Malaysia mahu proses membabitkan dokumentasi untuk keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN dipermudahkan dan usaha untuk negara itu menjadi anggota penuh ASEAN sedang dilaksanakan dan dipercepatkan.

“Banyak dokumentasi yang perlu dilakukan, (ada) perjanjian, mesyuarat, kerjasama tetapi dokumen terbabit adalah berasaskan ekonomi dan kita sudah meminta tonggak ekonomi untuk melihat serta mengkaji jika boleh dipendekkan senarai keperluan terbabit.

“Kerana bagi saya, ada juga ahli ASEAN sedia ada belum lagi mencapai sepenuhnya syarat (sebagai negara anggota penuh), jadi kenapa kita tak boleh beri Timor-Leste laluan awal menjadi ahli penuh,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, ASEAN turut menyatakan harapan mereka agar dunia menjadi lebih stabil dan aman di bawah kepemimpinan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sekali lagi dipilih sebagai pemimpin negara itu.

Katanya, ASEAN mengakui kepemimpinan Trump mampu memberi sumbangan besar dalam mencipta suasana global yang lebih sejahtera.

“ASEAN berharap di bawah kepimpinan Trump, dunia akan lebih stabil dan aman, serta menghargai usaha-usaha yang dijalankan dalam memperkukuhkan hu­bungan antara negara,” katanya.

Mohamad juga memaklumkan barisan menteri luar ASEAN menyambut baik pelaksanaan gencatan senjata serta perjanjian pembebasan tebusan dan tahanan di Gaza.

Beliau berkata, rancangan itu memberikan peluang untuk meredakan ketegangan dan mengutamakan nyawa orang awam yang tidak bersalah biarpun keadaan di Gaza belum terjamin sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×