PETALING JAYA: Datuk Joehari Mohd. Ayub mencipta sejarah baharu buat bola sepak Sabah apabila bakal menjadi Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029.
Beliau bersama dua calon timbalan presiden FAM iaitu Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram menang tanpa bertanding selepas tiada calon lain bertanding merebut jawatan berkenaan.
Mereka bagaimanapun perlu mengesahkan untuk menerima pencalonan selewat-lewatnya Khamis depan dengan menyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan yang dicalonkan atau sebaliknya iaitu tidak bersetuju.
“Calon-calon yang layak untuk bertanding ini akan diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan untuk mereka membalas semula borang berkenaan selewat-lewatnya pada Khamis, 23 Januari 2025 dengan menyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan yang dicalonkan atau sebaliknya iaitu tidak bersetuju.
“Jawatankuasa Pemilihan FAM juga akan menghantar nama mereka untuk proses saringan integriti membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta semakan status kebankrapan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).
“Seterusnya, Jawatankuasa Pemilihan FAM akan mengumumkan senarai akhir iaitu senarai rasmi nama calon yang layak bertanding pada pemilihan kali ini, pada/selepas Khamis, 23 Januari 2025 atau selewat-lewatnya pada Sabtu, 8 Februari 2025 (tujuh hari sebelum kongres berlangsung).
“Senarai ini juga akan dihantar kepada 18 ahli gabungan untuk makluman mereka,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said dalam satu kenyataan, semalam.
Sementara itu, seramai 29 orang calon layak bertanding untuk pemilihan yang akan berlangsung pada Kongres FAM Ke-61 bagi mengisi 17 kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029.
Terdahulu, kesemua 18 ahli gabungan FAM (tidak termasuk Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang digantung keahlian) telah diberi masa selama 24 hari iaitu dari 24 Disember 2024 hingga 16 Januari ini untuk mengemukakan senarai nama calon masing-masing bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco).
Jelas Abdullah, selepas tempoh akhir yang diberikan iaitu pada jam 5.30 petang kelmarin (16 Januari), terdapat satu ahli gabungan yang tidak menghantar borang pencalonan manakala satu ahli gabungan yang menghantar borang pencalonan tetapi tidak sempurna.
“Oleh itu, hanya pencalonan daripada 16 ahli gabungan yang sah diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM.
“Selepas proses pengiraan, jumlah keseluruhan calon yang diterima ialah seramai 39 orang tetapi hanya 29 orang calon yang akan diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan memandangkan baki 10 orang calon lain itu tidak mendapat jumlah pencalonan minimum seperti yang termaktub dalam Artikel 31, Perenggan 6, Statut FAM.
“Bagi menandingi jawatan Presiden, seseorang calon itu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya enam pencalonan dari ahli-ahli gabungan FAM manakala bagi jawatan Timbalan Presiden memerlukan lima pencalonan, jawatan Naib Presiden memerlukan empat pencalonan manakala jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) memerlukan dua pencalonan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Datuk Dollah Salleh yang layak bertanding untuk dua jawatan iaitu Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco), perlu memilih hanya satu jawatan untuk bertanding menerusi jawapan balas dalam Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan. – UTUSAN
Senarai calon Pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2025-2029
Presiden (1 kerusi)
Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub
Timbalan Presiden (2 kerusi)
Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi
Datuk S. Sivasundaram
Naib Presiden (4 kerusi)
Datuk Seri Rosmadi Ismail
Datuk Mohd Azhar Jamaluddin
Datuk Dollah Salleh
Syed Yazid Syed Omar
Ahli (8 kerusi)
Datuk Mohd Hisamudin Yahaya
Tang Chee Hong
Mohd Azizudin Mohd Shariff
Hishamuddin Abdul Karim
Datuk Zainal Abidin Hassan
Zulkifli Che Harun
Datuk Kamarudin Hassan
MD Dali Wahid
Datuk Adly Shah Ahmad Tah
Datuk Sri Mohd Yusri Hassan Basri
Datuk Mohd Azhar Jamaluddin
Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya
Datuk Dollah Salleh
Christopher Raj
Datuk Dr. P. Sugumaran
Datuk Sri Afandi Hamzah
Zamri Ibrahim
Ahli Wanita (2 kerusi)
Datuk Suraya Yaacob
Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah
Datuk Dr. Fadilah Sarbi
Mimi Afzan Afza
Nur Izwani Azman










