Tiada lagi pemain lembik dalam Harimau Malaya

Tiada lagi pemain lembik dalam Harimau Malaya

SKUAD Harimau Malaya akan melalui fasa perubahan yang besar susulan daripada usaha merevolusikan skuad berkenaan. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehadiran Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan Dr Craig Duncan bakal memastikan tiada lagi isu pemain Harimau Malaya lembik.

Keyakinan itu dilaungkan oleh Duncan yang bersedia menggunakan kepakaran dalam sains sukan dan pengalamannya bagi membentuk skuad Harimau Malaya lebih mantap untuk memberi saingan di peringkat antarabangsa.

Katanya, menerusi aspek sains sukan, beliau mahu membantu skuad kebangsaan berada di tahap terbaik terutamanya dalam persiapan mengharungi kelayakan Piala Asia 2027 Mac ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengalaman saya amat luas. Saya pernah bekerja dengan beberapa negara sebelum saya membuat keputusan untuk menyertai revolusi pasukan kebangsaan Malaysia ini.

“Secara asasnya, tugas selaku Ketua Prestasi Tinggi adalah menguruskan perkara-perkara berkaitan dengan sains sukan, sains perubatan, kecergasan, nutrisi dan juga psikologi pemain.

“Bagi saya, semua aspek tersebut amat penting untuk memaksimumkan prestasi setiap pemain bagi membantu tugas ketua jurulatih, Peter Cklamovski,” kata Duncan.

Duncan menyertai struktur pengurusan baharu Harimau Malaya bersama Rob Friend, Cklamovski dan Nafuzi Zain.

Beliau sebelum ini pernah menggalas peranan sebagai Ketua Sains Sukan Football Australia (FA) dan membantu beberapa pasukan seperti Australia, Iran, Sydney FC dan Western Sydney Wanderers.

Antara skop tugas Duncan selaku Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan ialah kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan, pemakanan dan psikologi sukan.

Duncan yang memulakan tugasan secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada awal bulan ini juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Performance Intelligence Agency selama 15 tahun sejak 2009 hingga kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×