KEMBARANYA ke Asia Tengah memberi ruang untuk wanita dari Maran, Pahang ini mempelajari budaya tempatan iaitu hitchiking atau menahan dan menumpang kenderaan penduduk tempatan untuk bergerak ke satu-satu destinasi.
Pengalaman itu memberi kebebasan buat Yumie Tassia Azmi, 37, untuk berhenti secara spontan di mana-mana lokasi yang dirasakan menarik dan menginap.
Dia berpeluang tinggal bersama penduduk tempatan di Balikchy dan di dalam Yurt di Song Kul, Kyrgyzstan tanpa jaringan internet serta perkhidmatan elektrik.
Berbekalkan pemanas manual dari kayu api pada suhu negatif dan berbumbungkan panorama langit indah yang ditaburi ribuan bintang di tengah kegelapan malam adalah antara pengalaman manis yang tidak dapat dilupakannya.
“Ketika itu, AirAsia belum menawarkan penerbangan terus ke Almaty, Kazakhstan dan tidak ramai pengembara dari Malaysia berkongsi pengalaman dan maklumat di sana terutama Tajikistan.
“Mahukan pengalaman berbeza, saya menempah penginapan hanya pada hari pertama dan seterusnya saya terokai sendiri ke Kyrgyzstan, Uzbekistan, Kazakhstan serta Tajikistan tanpa sebarang jadual atau perancangan.
“Selain itu, saya juga dapat melihat keindahan alam semula jadi yang belum terusik dengan komodenan, menikmati stik daging kuda, menaiki jeep lama buatan Rusia di tepi cerunan tinggi selama berjam-jam untuk ke Altyn Arashan iaitu kawasan air panas semula jadi terkenal,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Sehingga kini, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini sudah melawat ke 52 negara antaranya Asia, Asia Tengah, Eropah, Amerika Latin dan Arab Barat.
Yumie Tassia mula aktif dalam aktiviti kembara sejak 2013 dan memilih kembara solo beberapa tahun kemudian.
Matlamat asalnya adalah untuk mencabar diri di tempat orang selain lebih fleksibel, namun lama-kelamaan bertukar menjadi hobi yang sangat menyeronokkan.
Hanya satu negara dilawatinya dengan kumpulan diikuti beberapa negara secara berdua manakala 90 peratus yang lain adalah solo.
Bergelar pengembara solo membolehkannya mengembara berbulan-bulan tanpa terikat dengan jadual sekali gus dapat mendalami keunikan negara luar dengan lebih dekat dan santai.
“Saya memilih pendekatan bersederhana iaitu tidak mewah atau terlalu berjimat terutama bagi trip lama tanpa terikut dengan cara orang lain kerana yang utama ialah kepuasan diri sendiri.
“Antara aktiviti kegemaran saya adalah berkunjung ke pasar pagi untuk melihat budaya masyarakat dan memasak sekali gus dapat merasai kehidupan seperti penduduk tempatan selain dapat mengurangkan kos perbelanjaan,” katanya yang meninggalkan kerjaya di dunia korporat demi menjaga arwah ibu yang menderita kanser.
Pemergian ibunya pada 2022 turut mendorong anak sulung ini menunaikan umrah bagi menggantikan tempat arwah dan ibadah itu diteruskan secara berturut-turut pada 2023 dan 2024 namun secara sendirian (DIY) tanpa khidmat ejen pelancongan.

Berjaya survive
Aktiviti kembara solo bagi wanita diakui lebih tinggi risikonya berbanding secara berkumpulan atau solo lelaki.
Yumie Tassia sentiasa mengambil kira segala risiko tersebut dan belajar untuk meminumkannya.
Antaranya, dengan mengambil insuran perjalanan, memastikan pasport dan sekurang-kurangnya satu kad/kad kredit sentiasa bersama, mengelak keluar pada waktu malam terutama di kawasan berisiko serta berkongsi keberadaan dengan keluarga terdekat.
Yang penting adalah pembawaan diri di negara orang dan menyesuaikannya dengan budaya tempatan tanpa perlu terlalu menonjol dari segi pemakaian atau perwatakan hingga boleh menarik perhatian ke arah negatif.
“Walaupun berisiko tinggi, tetapi saya dapat mencapai kepuasan paling maksimum apabila berjaya survive terutama ketika trip tanpa jadual atau perancangan.
“Saya anggap diri sebagai ‘pengembara tercampak’ di negara orang dan perlu meneruskan kehidupan dengan bajet tertentu,” katanya.
Mengembara tanpa berpandukan kisah dan gambar indah di internet memberi kejutan kepada diri selain lebih santai serta mencabar diri untuk berfikir di luar kotak.
Ketika ditanya tentang keyakinan diri, katanya, sikap itu dipupuk sejak kecil lagi berikutan perlu berdikari untuk menaik bas awam ke sekolah dan ditambah baik melalui siri-siri kembaranya.
Trip paling lamanya ialah selama hampir empat bulan di Eropah setelah selesai menjalani ibadah umrah pertama.
Dia yang bekerja sendiri bagaimanapun tidak menetapkan kekerapan kembara yang perlu dilakukan setiap tahun kerana ia bergantung kepada tawaran tiket murah.

“Kini saya perlu menguruskan adik yang terlantar kemalangan kereta dan perlu mencari masa yang sesuai untuk me time dan hobi ini.
“Biasanya, saya beli tiket sehala ketika promosi manakala tiket pulang dibeli apabila hampir dengan waktu kembara,” katanya yang kurang membeli-belah sebaliknya memperuntukkan lebihan duit untuk ke luar negara.
Ditahan imigresen di TRNC
Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Yumie Tassia ialah ketika trip ke Republik Turki Cyprus Utara (RTCU) pada pertengahan November lalu.
Dia ditahan pihak imigresen di lapangan terbang namun dilepaskan setelah 30 minit sesi siasatan.
Penahanan tersebut susulan permohonannya untuk tidak mengecop pasport sebagai bukti kemasukan secara sah, sebaliknya proses itu dibuat pada borang.
Ia berikutan niatnya untuk memasuki Cyprus dan Greece.
Katanya, mana-mana pengembara dihalang untuk ke dua negara itu jika pasport dicop TRNC iaitu sebuah negara yang tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Situasi cemas itu berulang pada hari sama apabila dia dihalang ke Cyprus melalui sempadan darat pada waktu malam.
“Penginapan yang ditempah pula terletak 1 kilometer ke Cyprus yang menyebabkan saya dihalang masuk berikutan ia hanya dibenarkan untuk pemegang pasport Kesatuan Eropah (EU) sahaja.
“Namun, dengan perbincangan dan budi bicara, semuanya berjalan lancar,” kata pemilik akaun TikTok, Misssarajevo ini.
Asam garam kembara solo tidak lari daripada kekecewaan, penat dan marah terutama jika berlaku insiden tidak dingini .
Bagaimanapun, Yumie Tassia sentiasa positif kerana setiap pengalaman itu adalah ilmu jalanan yang tidak dapat dituntut daripada buku, internet atau pengalaman orang lain.

Kumpul ramai kawan baharu
Menerusi hobinya ini, ramai kenalan baharu ditemui dan hubungan persahabatan itu berkekalan hingga kini.
Terkini, dia diundang ke rumah seorang rakan dari Greece.
“Bergerak solo memudahkan seseorang untuk mendekati dan didekati pengembara lain atau penduduk tempatan.
“Cara berkawan selalunya bermula secara spontan atau rambang, contohnya semasa di pasar di Panjakent, Tajikistan saya melihat pengembara perempuan menawar harga dengan pemandu kereta sewa, lantas saya menawarkan diri untuk berkongsi bayaran dan meneroka destinasi itu bersama.
“Sehingga kini, kami masih berhubung dan semasa trip di Eropah, saya sempat singgah bertemunya di Budapest, Hungary,” katanya yang akan ke Nairobi, Kenya selama dua minggu pada akhir bulan ini.










