DALAM Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Perikatan Nasional (PN) bersaing sebagai penentang rasuah dengan slogan ‘Bersih dan Stabil’, membezakannya daripada Barisan Nasional (BN) yang terjejas imejnya kerana pemenjaraan bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana skandal Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada masa sama, PN juga membezakan dirinya daripada Pakatan Harapan (PH) yang juga antirasuah dengan nasionalisme Melayu-Muslim.
Apakah pemposisian PN dalam PRU16? Tindakan berhimpun untuk membela Najib memperlihatkan PN mungkin sudah meninggalkan imej antirasuahnya. Jika PN ingin menggandakan serangannya dalam memainkan sentimen nasionalisme, ia akan menjauhi parti-parti Sabah dan Sarawak dalam membentuk kerajaan campuran kecuali dapat memenangi 112 kerusi di Semenanjung.
Maka, pemimpin PN generasi baharu termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri Ke-11, seharusnya memikirkan bagaimana kelayakan PN sebagai pembawa reformasi boleh diperkuatkan melalui pentadbiran kerajaan negeri.
Sebenarnya, Terengganu sudahpun dua kali berturut-turut menerajui dalam penilaian ketelusan dan akauntabiliti belanjawan kerajaan negeri oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), kali pertama pada 2022 sebagai juara ulung, dan kali kedua bersama Selangor pada 2024.
Ahmad Samsuri boleh mempertimbangkan reformasi institusi dalam tiga aspek lain yang Terengganu boleh mengalahkan negeri-negeri PH dan UMNO, iaitu:
PERUNTUKAAN SAKSAMA
Reformasi institusi yang paling diperlukan oleh PN ialah undang-undang untuk menjamin dana pembangunan kawasan (CDF) saksama untuk wakil rakyat. Kesemua 68 orang ahli Parlimen PN sekarang tidak cukup dana untuk membantu pengundi dan menggerakkan projek prasarana kecil.
Kesulitan ini disengajakan untuk menimbulkan ketidakpuasan pengundi terhadap wakil rakyat pembangkang dan menekan mereka untuk menyokong kerajaan, sama ada secara berkelompok atau individu seperti ‘Bersatu 6’.
Ini legasi BN yang diteruskan oleh PH dan PN. Hanya semasa kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kebanyakan ahli parlimen pembangkang dapat menikmati CDF yang sama kerana Memorandum Pemahaman (MOU) dengan PH. Akan tetapi, kerana CDF saksama tidak dikanunkan, PN kini terhukum apabila menjadi pembangkang.
Di peringkat negeri, cuma Perak (sejak Disember 2020) dan Kelantan (sejak September 2022-2023) semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima peruntukan CDF yang sama. Tetapi, ia boleh dibatalkan bila-bila masa kerana juga tidak dikanunkan.
Terengganu boleh menjadi teladan kepada Dewan Rakyat dan semua DUN lain dengan pengkanunan CDF saksama, sekali gus memberikan tekanan moral kepada PH yang menjanjikannya dalam manifesto PRU15 tetapi gagal mengkotakannya.
PENDANAAN POLITIK UNTUK PARTI-PARTI
Sehingga hari ini Kerajaan Madani masih gagal membawa reformasi dalam undang-undang pendanaan politik. Kerana tiada undang-undang ini, campur tangan negara asing dalam politik tanah air dengan mencurahkan dana berbilion dinyatakan tanpa segan silu dalam perbicaraan kes 1MDB.
Rang undang-undang untuk mengawal pendanaan politik bermula sejak zaman Najib dan berterusan di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri.
Sungguhpun ahli-ahli parlimen yang prihatin seperti Wong Chen serta Ahmad Fadhli Shaari dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti IDEAS dan Tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyediakan rang undang-undang di bawah Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM) atas Pendanaan Politik, perkara ini tetap dalam kajian. Tiada jaminan penggubalan akan berlaku dalam penggal ini malah sepanjang kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Parti-parti dan pemimpin-pemimpin politik, apabila berkuasa, mereka tidak berminat dengan pengawalan ke atas pendanaan politik kerana sukakan kebebasan untuk mendapat dana daripada sebarang penyumbang.
Sungguhpun negeri tiada kuasa untuk mengawal pendanaan politik, mereka boleh melaksanakan memberikan dana awam kepada parti untuk mengurangkan kebergantungan parti kepada dana persendirian.
APPGM mencadangkan pemberian RM120 juta setahun untuk semua parti berasaskan peratusan undi. Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu boleh menjadi perintis dengan jumlah kecil, misalnya RM1 juta, iaitu 0.05 peratus daripada jumlah Belanjawan 2025 negeri Terengganu, RM1.887 bilion.
PERWAKILAN WANITA
Dengan seorang wanita dalam kalangan 32 ADUN (3.1 peratus), Terengganu mempunyai peratusan wanita dalam badan perundangan yang paling rendah di Malaysia.
Piawaian dunia ialah minimum 30 peratus wanita, yang Malaysia gagal sama sekali dengan cuma 13.5 peratus di Dewan Rakyat dan 26.8 peratus di DUN Johor, yang paling tinggi antara 13 negeri.
Tetapi, DUN Terengganu juga satu-satunya negeri yang boleh melantik ADUN tambahan, sehingga empat orang, untuk memastikan perwakilan wanita dan bukan Muslim. Sungguhpun ADUN tambahan juga boleh dilantik di Sabah (enam orang) dan Pahang (lima), perlantikan tidak diikat dengan kriteria gender atau kaum.
Peruntukan untuk ahli dilantik (Perkara 27, Bahagian I, Undang-undang Tubuh Terengganu) diperkenalkan pada 2003 semasa Tan Sri Hadi Abdul Awang menjadi Menteri Besar. Ia digunakan kali pertama pada 2018 untuk melantik Zuraida Md. Noor dan berkesan dalam menonjolkan ketokohan beliau yang dicalonkan dan menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
Hampir mustahil Terengganu akan melihat 10 orang wanita terpilih menjadi ADUN untuk mencapai 30 peratus dalam masa satu atau dua PRN. Untuk mempercepatkan pencapaian ini, perlantikan wanita untuk mengisi empat kerusi tambahan harus dijadikan ciri tetap, dengan kuota bukan Muslim dimasukkan.
Ini akan menjamin perwakilan wanita bermula pada 11.1 peratus dan 30 peratus boleh dicapai bila tujuh orang ADUN wanita dipilih. Jika ia dilaksanakan sekarang, peratusan wanita di DUN akan meningkat menjadi 13.9 peratus dan mendahului Dewan Rakyat (13.5 peratus) dan DUN di negeri-negeri yang dikira lebih mesra-wanita, Penang (10 peratus), Sabah (8.9 peratus) dan Sarawak (6.1 peratus).
Demi menunjukkan iltizam PN kepada demokrasi jamak parti, Terengganu harus mengagihkan empat kerusi tambahan ini mengikut peratusan undi seluruh negeri. BN yang mendapat 28.7 peratus undi dalam PRN 2023 akan dapat melantik seorang ADUN wanita.-UTUSAN
PROFESOR Wong Chin Huat ialah saintis politik dan Timbalan Ketua (strategi) di Ibu Pejabat Asia Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDSN) di Sunway University.










