PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperluaskan program pembetulan ketajaman penglihatan mata kepada murid Tahun 1 daripada keluarga B40 serta M40, keseluruh negara dalam usaha meningkatkan kesihatan mata golongan berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) itu penting bagi memastikan isu kesihatan penglihatan murid terus diberi keutamaan.
Beliau berkata, program itu juga penting sebagai jalan penyelesaian kepada masalah pembelajaran anak-anak di sekolah.
“Insya-Allah program ini akan kita perluaskan dan ini komitmen kita bersama,” katanya pada Majlis Penyerahan Kaca Mata Bagi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan Murid Sekolah di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2), Presint 9, di sini semalam.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya menetapkan sasaran pengesanan ketajaman penglihatan melebihi lima peratus daripada jumlah murid yang diperiksa berbanding ketika ini sekitar 3.5 peratus.
“Kami akan sentiasa memantau masalah ketajaman penglihatan murid melalui pemeriksaan Pasukan Kesihatan Sekolah di bawah KKM, yang mana murid-murid ini akan dirujuk untuk mendapatkan pembetulan ketajaman penglihatan melalui pemakaian cermin mata,” katanya.
KKM juga katanya, menyedari ada murid (mengalami masalah penglihatan) yang tidak memakai cermin mata akibat kekangan kewangan.
Justeru, KKM akan bekerjasama dengan badan terlibat bagi melaksanakan projek rintispengesahan masalah ketajaman penglihatan dan pemberian kaca mata percuma. – UTUSAN











