Gencatan senjata: Biden umum, Trump dapat kredit

Gencatan senjata: Biden umum, Trump dapat kredit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pengumuman gencatan senjata di Gaza merupakan kemenangan pahit bagi Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden yang akan meninggalkan Rumah Putih, walaupun beliau berhak mendapat kredit di atas pengumuman tersebut.  

Memuatkan artikel berkaitan…

Jawatan nombor satu di AS itu akan diserahkan kepada Donald Trump, 20 Januari ini. 

Biden awalnya mencadangkan usaha memuktamadkan perjanjian antara Israel dan Hamas pada 31 Mei tahun lalu, tetapi usaha diplomatik berulang kali gagal. 

Setiausaha Negara, Antony Blinken memberi amaran di Tel Aviv pada Ogos lalu, ia mungkin peluang terakhir untuk perjanjian itu.

Utusan Asia Barat Trump, Steve Witkoff mengadakan perbincangan di pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu Sabtu lalu, memaksa beliau mengabaikan sambutan Hari Sabat dan mendesak untuk memeterai perjanjian gencatan senjata.

BIDEN ATAU TRUMP

Menerusi misi yang belum pernah berlaku dalam sejarah AS baru-baru ini, Witkoff dan Penasihat Asia Barat Biden, Brett McGurk tampil bertemu Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani yang menjadi perantara utama antara Israel dan Hamas ketika memeterai perjanjian itu.

Trump pantas mendakwa perjanjian ‘epik’ itu hanya boleh berlaku kerana pemilihannya sebagai presiden AS pada bulan November.

Ditanya sama ada Trump layak mendapat pujian, Biden menyindir, ‘Adakah itu gurauan?’

Bercakap beberapa jam sebelum ucapan perpisahan yang dijadualkan sebelum ini kepada negara, Biden berkata, beliau memasukkan pasukan Trump dalam rundingan supaya AS dapat ‘bercakap dengan satu suara’.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre berkata, ia bukan sesuatu yang tidak dijangka bagi semua pihak untuk mendapatkan pujian bagi berita positif.

“Apa yang boleh saya katakan ialah, Presiden menyelesaikannya,” katanya, merujuk kepada Biden.

Jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller berkata, kehadiran pasukan Trump adalah untuk menunjukkan ‘kesinambungan’ dan bukannya untuk mempamerkan Republikan mengenakan tekanan baharu.

Biden berdepan kritikan hebat dari Parti Demokratnya semasa tahun pilihan rayanya yang tidak berjaya berhubung sokongan padunya terhadap Israel sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Biden membenarkan senjata bernilai berbilion dolar untuk kempen balas dendam Israel yang tidak henti-henti ke atas Gaza, walaupun mengkritik jumlah nyawa orang awam yang diragut sekutu strategik AS itu.

“Pentadbiran Biden amat takut dengan kos politik yang dilihat menekan Israel dalam apa cara sekalipun.

“Trump, sambil berikrar untuk menjadi lebih pro-Israel, dapat menjelaskan kepada Netanyahu beliau tidak mahu mewarisi kekejaman ini.

“Ia membuatkan saya berfikir semua ini mungkin berlaku beberapa bulan lalu dan kami boleh menyelamatkan beribu-ribu lagi nyawa rakyat Palestin,” kata Pengarah Eksekutif Kumpulan Hak Democracy for the Arab World Now, Sarah Leah Whitson.

Trump memberi amaran kepada Hamas tentang ‘balasan neraka dunia’ jika kumpulan itu tidak bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata dalam fasa pertama melibatkan pembebasan 33 tebusan yang dirampas pada 7 Oktober lalu.

Pakar Israel di Yayasan Jean Jaures di Paris, David Khalfa berkata, ketidakpastian Trump berkemungkinan memberi kesan kepada Hamas dengan kedudukan politik Netanyahu mengetuai kerajaan gabungan berhaluan keras ketika ini semakin goyah.

“Hari ini terdapat penjajaran ideologi antara haluan kanan populis AS dan Perdana Menteri Israel. Jadi beliau mempunyai ruang yang sangat lemah untuk bergerak menentang Trump yang tidak menghadapi tekanan pemilihan semula,” kata Khalfa.

Felo Kanan Institut Asia Barat berpangkalan di Washington, Brian Katulis berpendapatan, keinginan Israel dan pihak lain untuk mengambil langkah yang tepat  ketika Trump mengambil alih mungkin memainkan peranan dalam memeterai perjanjian itu.

Tetapi jelasnya, faktor yang lebih besar daripada Trump ialah perubahan dinamik di rantau itu serta tamparan besar yang dikenakan ke atas Hamas dan penaungnya Iran.

“Israel telah menghancurkan sekutu Iran, Hezbollah di Lubnan dan pertahanan udara Iran sendiri, dengan sekutu utama Teheran di dunia Arab, Bashar Al-Assad dari Syria, digulingkan bulan lalu oleh pasukan pemberontak.

“Saya tidak fikir sebarang ancaman dan kecaman yang kami lihat daripada Trump adalah faktor besar di kedua-dua pihak. Saya rasa kebanyakannya adalah hasil usaha yang dilahirkan oleh Biden dan pasukannya,” kata Katulis.

Pengarah Program Asia Barat di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, Jon Alterman bersetuju ketidaktentuan berikutan kemenangan Trump menyumbang kepada perjanjian itu.

“Israel dan Hamas sedang berunding di bawah terma yang telah diketahui oleh setiap pihak dan tahu terdapat risiko tinggi parameter akan berubah. Jika perjanjian itu runtuh, maka tidak kira siapa yang melaksanakannya, akan ada banyak kesalahan untuk dilakukan,” kata Alterman.-AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN