Derita 15 bulan penduduk Gaza berakhir

Derita 15 bulan penduduk Gaza berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Selepas 15 bulan berperang, Israel dan Hamas akhirnya bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata di Gaza yang akan berkuat kuasa pada Ahad, dengan langkah pelaksanaan antara kedua-dua pihak sedang diteruskan.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani berkata, perjanjian itu termasuk gencatan senjata sementara yang akan menamatkan kemusnahan ke atas Gaza serta pembebasan tebusan yang ditahan di wilayah itu sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin yang diambil Israel. 

Perjanjian ini disifatkan sebagai langkah awal ke arah kestabilan dan penyelesaian diplomatik konflik Israel-Palestin, selepas 46,707 nyawa rakyat Palestin terkorban dalam tempoh 470 hari berperang. 

Serangan Israel bermula selepas Hamas melancarkan serangan besar-besaran ke selatan Israel pada 7 Oktober 2023, menyebabkan 1,139 rakyat Israel terkorban dan kira-kira 250 orang diculik.

TIGA FASA PERJANJIAN

Perjanjian itu juga, akhirnya, membenarkan penduduk Palestin yang dipindahkan untuk kembali ke rumah mereka walaupun selepas kempen kemusnahan yang disengajakan Israel dengan kebanyakan kediaman sudah ranap menyembah bumi.

Fasa pertama akan berlangsung selama enam minggu dan akan melibatkan pertukaran tahanan terhad, pengunduran sebahagian tentera Israel di Gaza dan lonjakan bantuan ke wilayah terkepung itu.

Seramai 33 tebusan Israel, termasuk wanita, kanak-kanak dan orang awam berusia lebih 50 tahun akan dibebaskan sebagai pertukaran untuk membebaskan lebih ramai tahanan Palestin termasuk banduan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup serta sekitar 1,000 yang ditahan selepas 7 Oktober tahun lalu.

Israel juga akan menarik pasukannya dari pusat penduduk Gaza ke kawasan tidak lebih daripada 700 meter di dalam sempadan Gaza dengan Israel dengan pengunduran tentera dari Koridor Netzarim dijangka akan berlaku secara berperingkat.

Dalam fasa pertama, Israel akan membenarkan orang awam pulang ke rumah mereka di kawasan utara yang dikepung, di mana agensi bantuan memberi amaran kebuluran mungkin berlaku, dan membenarkan lonjakan bantuan sehingga 600 trak setiap hari.

Israel juga akan membenarkan rakyat Palestin yang cedera meninggalkan Semenanjung Gaza untuk mendapatkan rawatan dan membuka lintasan Rafah dengan Mesir tujuh hari selepas permulaan pelaksanaan fasa pertama.

Tentera Israel akan mengurangkan kehadiran mereka di Koridor Philadelphi, kawasan sempadan antara Mesir dan Gaza sebelum berundur sepenuhnya tidak lewat daripada hari ke-50 selepas perjanjian itu berkuat kuasa.

Butiran fasa kedua dan ketiga akan dirundingkan semasa fasa pertama tetapi Biden berkata, gencatan senjata akan diteruskan walaupun rundingan untuk fasa seterusnya melangkaui enam minggu awal fasa pertama.

Israel menegaskan, tiada jaminan bertulis diberikan untuk menolak penyambungan semula serangannya sebaik sahaja fasa pertama selesai dan tawanan awamnya dikembalikan.

Bagaimanapun, menurut sumber, Mesir, Qatar dan AS memberi jaminan lisan kepada Hamas bahawa rundingan akan diteruskan dan ketiga-tiganya akan mendesak perjanjian peringkat kedua dan ketiga dilaksanakan sebelum tempoh enam minggu awal berlalu.

Jika ditentukan bahawa syarat telah dipenuhi untuk fasa kedua, Hamas akan membebaskan semua tawanan yang masih hidup, kebanyakannya tentera lelaki, sebagai balasan untuk membebaskan lebih ramai rakyat Palestin yang ditahan dalam sistem penjara Israel. 

Di samping itu, menurut dokumen semasa, Israel akan memulakan pengunduran sepenuhnya dari Gaza.

Walau bagaimanapun, syarat-syarat ini, yang masih belum diundi oleh Kabinet Israel.

Sekiranya syarat peringkat kedua dipenuhi, fasa ketiga akan menyaksikan mayat tawanan yang tinggal diserahkan sebagai balasan kepada rancangan pembinaan semula tiga hingga lima tahun yang akan dijalankan di bawah pengawasan pihak antarabangsa.

SOKONGAN PEMIMPIN DUNIA 

Pengumuman perjanjian gencatan senjata itu mendapat reaksi positif dari pemimpin seluruh dunia termasuk Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan.

Beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai langkah penting untuk kestabilan serantau dan menegaskan komitmen Turkiye terhadap penyelesaian dua negara.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata, ini merupakan berita yang sangat dinanti-nantikan oleh rakyat Palestin setelah berbulan-bulan pertumpahan darah dan nyawa terkorban.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, PBB bersedia menyokong perjanjian itu dan meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Manakala Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi pula mengalu-alukan perjanjian tersebut yang turut disertai oleh negara itu sebagai salah satu pengantara dalam satu hantaran di platform X, sambil menekankan kepentingan penghantaran segera bantuan kemanusiaan ke Gaza. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×