BERGELAR orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu bukan penghalang untuk wanita ini mencipta kejayaan dalam bidang pastri dan bakeri.
Dedikasi dan kerja keras Nor Adzleen Abdul Karim, 41, membolehkannya muncul pelajar cemerlang hingga bergelar cef profesional.
Dia yang mesra disapa Cef Leen ini kini berkhidmat sebagai Ketua Cef Pastri di Restoran Gastrohub di Nilai, Negeri Sembilan.
Paling manis, ibu dua anak ini turut meraih pelbagai pengiktirafan, antaranya Anugerah Usahawan Wanita Berjaya.
Kejayaannya itu sedikit sebanyak mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan OKU yang sering dilabel hanya tahu menagih bantuan.
“Walaupun kurang sempurna, tetapi kami tetap manusia yang mempunyai impian dan kemampuan.
“Saya mahu buktikan yang golongan OKU juga boleh berjaya seperti orang lain, melalui kepakaran dalam bidang masakan,” katanya.
Menceritakan minat pada dunia masakan, katanya, ia dipupuk sejak berusia 11 tahun lagi sebelum menyambung pengajian Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru.
Kebetulan ketika itu, institusi tersebut menawarkan program khas kulinari untuk golongan OKU.
“Saya banyak belajar tentang dunia pastri daripada arwah bapa saudara dan ilmu-ilmunya itu mengubah dunia saya yang sunyi-sepi kepada penuh kreativiti,” katanya.

CABARAN
Cabaran terbesar dihadapinya semasa bekerja adalah kesukaran berkomunikasi dengan rakan sekerja yang mungkin tidak biasa berinteraksi dalam cara yang mudah difahami.
Kekangan itu sering menyukarkannya untuk memahami permintaan atau maklum balas yang diberikan di dapur.
Oleh itu, dia turut mengambil inisiatif mengajar beberapa bahasa isyarat asas bagi memudahkan interaksi di tempat kerja.
“Untuk mengatasi masalah itu saya menggunakan pendekatan menulis setiap apa yang ingin disampaikan,” katanya.
Kecekalannya menangani cabaran itu membantu membina hubungan lebih erat dengan rakan sekerja, lantas membuktikan yang persefahaman mampu melangkaui kekangan bahasa.









