KEADAAN parkir kenderaan yang tidak teratur boleh mengganggu kelancaran lalu lintas di tempat awam. Contohnya jalan raya di hadapan masjid dan pasar awam. Situasi ini boleh menimbulkan konflik antara pemandu dan dan pengguna lain gara-gara pengguna tidak patuh peraturan parkir hingga mengganggu orang lain.
Pergaduhan sering terjadi, terutama di kawasan bandar yang padat dengan kenderaan akibat kekurangan ruang parkir atau sikap tidak bertanggungjawab individu tertentu. Dalam hal ini, pergaduhan parkir juga boleh tercetus disebabkan oleh sikap pengguna yang pentingkan diri sendiri seperti menghalang laluan keluar atau berebut tempat parkir.
Antara faktor yang menyumbang kepada pergaduhan termasuk parkir berganda atau menghalang kenderaan lain. Ia juga boleh meningkatkan risiko kemalangan sekiranya menghalang kenderaan lain dan ketidakselesaan pejalan kaki apabila laluan kaki lima dihalang.
Oleh itu, penguatkuasaan lebih ketat diperlukan melalui rondaan berkala atau berfokus, menggunakan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) atau alat pengesan bagi mengesan dan merekod pelanggaran parkir, terutamanya di kawasan yang sering berlaku kesalahan.
Begitu juga dengan mengeluarkan saman dan denda segera dengan jumlah yang lebih tinggi. Ini memberikan tekanan kewangan kepada pesalah dan berhati-hati terhadap pelanggaran peraturan pada masa hadapan.
Menunda dan menyita kenderaan juga boleh dilakukan sebagai pengajaran kerana ia melibatkan halangan lokasi kritikal yang boleh menyebabkan gangguan serius.
Dalam pada itu, pihak berkuasa penguatkuasaan boleh menyediakan sistem yang membolehkan orang awam melaporkan halangan atau pelanggaran parkir. Aplikasi mudah alih atau talian hotline boleh memberikan maklumat masa nyata, membantu pegawai bertindak balas dengan lebih cepat di kawasan yang bermasalah.
Bukan itu sahaja, ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak seperti komuniti, pihak berkuasa, sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan penting dalam memastikan peraturan parkir dipatuhi agar jalan raya kekal boleh diakses, selamat dan efisien.
Melalui gabungan penguatkuasaan, pendidikan awam, teknologi, dan pengurusan polisi, diyakini pihak berkuasa boleh mengurangkan masalah parkir tidak berdisiplin dengan ketara.-UTUSAN
NUR HANIM
Dengkil, Selangor










