PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana berjaya memperluaskan kawasan larangan merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Kesihatan Awam 2024. Melalui akta ini bermakna semua bangunan premis tempat kerja dikategorikan sebagai salah satu kawasan larangan merokok.
Tindakan kerajaan memperkenalkan larangan ini adalah satu inisiatif yang sangat progresif kerana ia melindungi kepentingan majoriti rakyat daripada ancaman asap rokok yang berbahaya.
Asap rokok, termasuk asap terpakai, adalah salah satu bahan pencemar udara yang paling berbahaya dan boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan.
Kajian menunjukkan bahawa pendedahan kepada asap rokok boleh menyebabkan pelbagai penyakit serius seperti kanser paru-paru, penyakit jantung dan asma.
Bahkan melalui akta ini juga membolehkan hak bukan perokok untuk menikmati persekitaran yang bebas daripada bahan berbahaya ini dihormati.
Sebelum ini, pekerja dan pelanggan yang memasuki tempat kerja selalunya tiada pilihan selain menghirup udara tercemar jika larangan merokok tidak dikuatkuasakan.
Sehubungan itu, larangan merokok bukan sekadar langkah kesihatan awam, malah usaha memberi kebebasan kepada setiap individu untuk menikmati persekitaran yang bebas daripada ancaman kesihatan.
Pelaksanaan ini di tempat kerja juga bukan sahaja melindungi kesihatan pekerja daripada risiko penyakit akibat terdedah kepada asap rokok, malah meningkatkan produktiviti pekerja.
Kita boleh mengambil contoh yang berjaya apabila mewujudkan larangan merokok di premis makanan dan bagaimana langkah ini memberi manfaat kepada kesihatan awam.
Selepas larangan ke atas premis makanan dikuatkuasakan, pelanggan boleh menikmati kualiti udara jauh lebih baik dan pengalaman menjamu selera yang lebih selesa.
Selain itu, larangan itu juga meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kesan bahaya merokok, sekali gus menggalakkan lebih ramai individu berhenti merokok.
Dari sudut pandangan CAP, larangan merokok di tempat kerja, baik di sektor kerajaan mahupun swasta, merupakan langkah progresif yang perlu disokong sepenuhnya.
Ia memastikan hak pengguna untuk menikmati persekitaran yang bebas daripada pencemaran asap rokok, melindungi kesihatan pekerja dan pelanggan serta mencerminkan tanggungjawab sosial majikan.
Dengan penguatkuasaan yang ketat dan sokongan daripada semua pihak, larangan ini boleh menjadi titik perubahan utama dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.-UTUSAN
NV SUBBAROW
Pegawai Pendidikan dan Aktivis Anti Rokok
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)










