SEOUL: Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan (NIS) mengesahkan laporan Ukraine mengenai penangkapan dua askar Korea Utara yang cedera minggu ini di Russia.
Dalam satu kenyutaan pada Ahad, NIS mengesahkan tentera Ukraine menangkap dua askar Korea Utara di medan perang Kursk di Russia, pada 9 Januari lalu.
Sabtu lalu, perisikan Ukraine (SBU) mengeluarkan video yang menunjukkan dua lelaki terbabit di katil hospital, seorang dengan tangan berbalut dan seorang lagi cedera pada rahang.
Seorang doktor di pusat tahanan berkata, lelaki pertama juga mengalami patah kaki.
SBU berkata, dua individu terbabit memberitahu penyiasat mereka adalah askar berpengalaman, dan seorang lagi mendakwa dihantar ke Russia untuk latihan bukan berperang.
Namun, Kyiv tidak menunjukkan bukti langsung lelaki yang ditangkap itu adalah warga Korea Utara dan AFP juga tidak mengesahkan kewarganegaraan mereka secara bebas.
Bagaimanapun, pengesahan Korea Selatan memberi sokongan kepada laporan Kyiv.
NIS berkata, seorang askar yang ditangkap mendedahkan semasa soal siasat dia menerima latihan ketenteraan dari pasukan Russia selepas tiba pada November lalu.
“Dia pada mulanya percaya dihantar untuk menjalani latihan, tetapi menyedari setelah tiba di Russia, dia telah dikerahkan,” kata NIS.
Askar tersebut berkata, pasukan Korea Utara mengalami kerugian besar semasa pertempuran.
Menurut agensi perisikan Seoul, seorang daripada lelaki itu tidak makan atau minum selama empat hingga lima hari sebelum ditangkap.
NIS berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan SBU untuk berkongsi maklumat mengenai askar Korea Utara di Ukraine.
Setakat ini, tiada maklum balas dikeluarkan oleh Russia atau Korea Utara terhadap laporan perisikan itu.– AFP











