Al-Quran diturunkan bertujuan memimpin dan memandu manusia ke jalan yang benar dan diredai oleh Allah SWT. Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 9: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat benar (agama Islam), dan menyampaikan berita gembira yang menggembirakan bagi orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”
Rasulullah SAW berjaya mentarbiyyah (mendidik) para sahabat menjadi generasi al-Quran yang unik dan benar-benar faham al-Quran sehingga sanggup berjuang dan berkorban kerana Allah SWT. Inilah generasi al-Quran yang berjaya dilahirkan oleh Rasulullah SAW dalam kalangan sahabat sehinggalah Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia.
As-Syahid Syed Qutub dalam kitabnya Maa’lim fi al-Tariq menyatakan, para sahabat baginda adalah generasi al-Quran terbaik yang pernah lahir di tengah umat manusia. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 110: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar benar iman).”
Syed Qutub mempersoalkan kenapa generasi terbaik Islam tidak muncul pada hari ini sedangkan al-Quran dan hadis masih berada di tangan umat Islam dan ia tetap terpelihara seperti zaman sebelumnya? Beliau menjelaskan, generasi al-Quran hanya akan dapat dilahirkan kembali apabila umat Islam memiliki dan melaksanakan tiga langkah seperti yang dilakukan oleh nabi dan generasi sahabat terdahulu.
Langkah-langkah tersebut ialah pertama, umat Islam perlu mencintai al-Quran dan menjadikannya sebagai satu-satunya sumber rujukan dalam kehidupan. Ini bermakna, al-Quran harus ditanam dalam hati dan fikiran serta menjadi roh dalam setiap nafas kehidupan.
Kedua, umat Islam hendaklah memiliki ketaatan yang tidak berbelah bagi terhadap perintah-perintah Allah dalam al-Quran. Al-Quran mestilah dipelajari tidak hanya untuk menjadi bahan kajian dan diperdengarkan bacaan semata-mata tetapi benar-benar untuk dilaksanakan. Syed Qutub menjelaskan, al-Quran perlu disatukan dalam jiwa raga umat Islam dan digunakan dalam kehidupan mereka. Al-Quran tidak sepatutnya hanya tersimpan dalam karya-karya ilmiah semata-mata tetapi ia mesti difahami dan diamalkan.
Ketiga, umat Islam hendaklah meninggalkan jahiliah moden termasuk cara hidup serta pemikirannya.
Justeru, sempena sambutan Nuzul al-Quran hari ini, marilah kita mencorak dan membina generasi hari ini supaya menjadi generasi rabbani yang dapat melaksanakan seluruh tuntutan al-Quran dalam kehidupan. Usaha tersebut dapat dicapai dengan menjadikan al-Quran sebagai hidayah atau petunjuk. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 2 yang bermaksud: “Kitab al-Quran ini sebenarnya tidak ada sebarang keraguan (sebagai sesuatu yang datangnya daripada Allah SWT dan sempurnanya); kemudiannya ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang mahu bertakwa.”
Kita hendaklah berpegang kepada Islam sebagai agama yang benar di sisi Allah SWT dan mentauhidkan Allah dengan akidah yang sahih bahawa Allah SWT. Jadikanlah al-Quran sebagai neraca dalam menentukan antara kebenaran dan kebatilan serta menjadikan Islam sebagai paksi perpaduan sesama ummah dengan al-Quran sebagai pedoman hidup.
Sebagai seorang mukmin, amat perlu untuk kita membina akhlak ummah berlandaskan al-Quran sebagaimana dijelaskan oleh Saidatina Aishah r.a mengenai peribadi Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad Muslim dan Abu Daud: “Adalah keseluruhan akhlaknya ialah al-Quran.”
Syariat Allah SWT hendaklah ditegakkan pada setiap masa dan mengagungkan al-Quran sebagai rujukan utama demi kesejahteraan hidup dunia dan akhirat, ke arah melahirkan generasi rabbani yang bertakwa dan diredai Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-An’am ayat 153 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya inilah jalanku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) memisahkan kamu daripada jalan Allah, itulah yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.”
Nuzul al-Quran adalah satu peristiwa yang signifikan dalam konteks membina ummah yang cemerlang dan berkualiti. Harapan kita semoga sambutan Nuzul al-Quran tahun ini memberi seribu pengertian kepada umat Islam di negara ini dan di seluruh dunia.
Bakri Amboala ialah Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).










