Bekas ahli Al-Maunah terkenang jadi imam di tirai besi - Utusan Malaysia

Bekas ahli Al-Maunah terkenang jadi imam di tirai besi

KAMARUDIN Mustafar menyiapkan tempahan baju Melayu pelanggan bagi sambutan Aidilfitri di Kampung Pinang Merah, Dungun, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Ramadan lalu, seorang bekas ahli Al-Maunah yang dibebaskan awal, Kamarudin Mustafar, 61, sering mengetuai solat sunat tarawih berjemaah bersama tiga rakan sebiliknya di Penjara Kajang, Selangor.

Kamarudin berkata, walaupun cuma setahun bergelar penghuni penjara itu dari 2019 hingga 2020, peluang menjadi imam kepada tahanan lain yang dikenali sebagai Mazlan, Nik Husin dan Abdullah pasti dikenang sampai bila-bila.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kamarudin yang kini bekerja sebagai eksekutif teknikal di sebuah syarikat minyak dan gas (O&G) di Paka, di sini berkata, suasana berpuasa di Penjara Kajang berbeza berbanding di Penjara Marang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, di Penjara Kajang setiap pagi sehingga pukul 2.30 petang, masanya dihabiskan di bengkel jahitan manakala rutin berbuka puasa dan solat sunat tarawih berjemaah dilakukan bersama tiga rakan sebilik.

“Di Penjara Marang pula, sepanjang sembilan tahun menjalani hukuman dari 2010 hingga 2019, saya ditempatkan di bilik berseorangan dan ibadah Ramadan lazimnya dilalui secara bersendirian, namun penyertaan dalam kelas tahfiz membolehkan saya mengetuai solat fardu selama empat tahun untuk 35 jemaah.

“Pengalaman menjadi imam ketika bergelar tahanan antara yang tidak mungkin dilupakan. Walaupun Allah SWT memberikan saya kesenangan dengan pembebasan awal tetapi sampai sekarang saya masih teringatkan kawan-kawan di sana ketika sama-sama melalui kesusahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pinang Merah, di sini semalam.

Kamarudin adalah antara 13 bekas ahli Al-Maunah yang menjalani hukuman penjara sepanjang hayat sejak 2000, namun diberikan pembebasan awal susulan pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Kebangsaan ke-63 pada 17 Ogos tahun lalu.

Dalam pada itu, Kamarudin bersyukur kerana Ramadan kali ini dapat dijalani bersama keluarga tercinta selepas bertahun-tahun mengimpikan disatukan dengan mereka sekali gus teruja meraikan Aidilfitri tidak lama lagi.

Bapa kepada enam anak itu berkata, selain tugasan kerja baharu, dia turut membahagikan masa dengan menjahit pakaian bersama isterinya, Mudrikah Ali, 54, yang beroperasi di rumah.

Katanya, sebanyak 70 tempahan baju Melayu diterima untuk Aidilfitri dan setakat ini 30 daripadanya sudah disiapkan dengan harga serendah RM90 sepasang, di samping turut menerima tempahan pakaian pekerja syarikat O&G.

“Selain tuntutan kerja, saya bertuah kerana dapat berpuasa dengan isteri, anak-anak dan cucu di samping beribadah di masjid. Paling istimewa, saya dapat menikmati kuih kegemaran, nekbat selepas 20 tahun mengidamnya setiap kali Ramadan di penjara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×