Misteri rumah terbakar resahkan penduduk Kupang

Misteri rumah terbakar resahkan penduduk Kupang

ZAMRI Ahmad dan isterinya, Nurul Wahida Md Saad melihat kesan kebakaran yang dikatakan bermula daripada motosikal yang berada di hadapan rumah mereka di Kampung Bukit Terabak, Kupang, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Kebakaran beberapa rumah di Kupang, sejak akhir-akhir ini terus menjadi misteri sehingga menimbulkan kegelisahan dan kegusaran dalam kalangan penduduk.

Mangsa-mangsa yang rumah mereka terbakar menyedari kebakaran berpunca daripada motosikal yang diletakkan di hadapan rumah dan berlaku pada awal pagi.

Penduduk Kampung Bukit Terabak, Kupang, Zamri Ahmad, 44, dan isterinya, Nurul Wahida Md. Saad, 35, tidak menyangka kebakaran rumah mereka kira-kira pukul 3 pagi 25 Disember lalu turut ‘merebak’ ke beberapa rumah lain di sekitar kampung berhampiran.

“Rumah saya terbakar ketika saya sedang bersiap untuk tidur, ketika itu isteri di rumah ibunya, saya rasa bahang di bahagian hadapan luar rumah lalu melihatnya. Saya terkejut mendapati sebuah motosikal terbakar dan api telah menyambar kereta yang baru setahun dibeli,” kata­nya ditemui di sini, semalam.

Selepas kejadian itu, pada malam berikutnya berlaku lagi kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Tanah Periuk, juga berpunca daripada motosikal yang berada di hadapan rumah.

Adnan Hassan, 39, berkata, rumah pusaka lebih 100 tahun yang didiami bersama isterinya, musnah sepenuhnya dalam kebakaran pada pukul 2.30 pagi dan ketika kejadian mereka di Kuala Perlis untuk bercuti di Langkawi.

“Semua peralatan rumah hangus termasuk tujuh ekor ku­cing dalam sangkar di hadapan rumah. Kami bergegas pulang dan setelah tiba sekitar pukul 5 pagi didapati semuanya hangus termasuk tiga motosikal,” katanya.

Katanya, jiran memberitahu mereka nampak api mulai marak di bahagian motosikal lalu me­nyambar ke bahagian rumah kayu dua tingkat itu.

Belum reda anggota bomba memadamkan kebakaran di rumahnya, sebuah lagi rumah terbakar yang jaraknya lebih kurang 700 meter dari rumah Adnan.

Ibrahim Ali, 58, berkata, ketika kejadian pada pukul 3.40 pagi itu, dia bersama isteri, tiga anak dan tiga cucunya sedang tidur apabila terhidu asap tayar motosikal terbakar

“Saya dan isteri sempat keluar melalui pintu hadapan, manakala anak dan cucu menyelamatkan diri melalui tingkap bilik, nasib baik tiada besi di cermin tingkat, jika tidak saya tidak tahu apa nasib mereka,” katanya.

Penduduk Kampung Bukit Terbak, Ahmad Mohd Zain, 43, berkata, kejadian seterusnya pada Sabtu minggu lalu apabila dua lagi kebakaran membabitkan motosikal di Kampung Banggol Nyor dan Kampung Tanjung.

“Kebakaran dikatakan hampir sama iaitu bermula dari bahagian hadapan rumah atau kawasan parkir kenderaan dengan jarak lokasi kedua-dua kejadian antara satu hingga tiga kilometer.

“Perbuatan ini mungkin angkara khianat dan mungkin juga mereka sedang menguji ilmu hitam dengan membakar motosikal dan langkah apinya untuk mencukupkan syarat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×