KUALA LUMPUR: Boon Siew Honda Sdn. Bhd., pengeluar dan pengedar motosikal Honda di Malaysia, telah melancarkan Honda RS-X Winner serba baharu dilengkapi ciri-ciri terkini yang direka untuk meningkatkan pengalaman tunggangan.
Sesuai untuk kegunaan harian di kawasan bandar dan tunggangan santai hujung minggu, motosikal versatil Honda RS-X Winner serba baharu menawarkan kombinasi gaya menarik sporty, kemajuan teknologi terkini, ciri-ciri mesra penunggang, prestasi luar biasa dan paling penting, kebolehpercayaan serta kualiti lagenda Honda.
Boon Siew berkata, Honda RS-X Winner yang menerima penarafan 5-bintang Program MyMAP mengesahkan motosikal ini menepati standard ketat pengeluaran antarabangsa, keselamatan, inovasi teknologi dan khidmat sokongan pelanggan.
“Kini ia dinaiktaraf dengan tujuh peningkatan penting yang bertujuan menambah baik pengalaman tunggangan enjin 150CC baharu, klac assist and slipper, sistem kunci pintar, port pengecas USB, gaya sport agresif, reka bentuk suis hendal berasingan dan reka bentuk rim tetuang gaya sport,” katanya dalam kenyataan.
Harga runcit yang disyorkan untuk Honda RS-X Winner serba baharu ialah RM9,998.00 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran) untuk tiga warna standard-Biru, Hijau dan Kelabu Matte.
Ia juga boleh didapati dengan warna Kuning Khas berharga RM10,298.00 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran). Motosikal ini didatangkan dengan waranti dua tahun atau 20,000 km, mana-mana yang dahulu.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Mitsuharu Funase berkata, beliau yakin terhadap kemampuan Honda RS-X Winner serba baharu meningkatkan lagi label nama RS-X serta memperkasakan reputasi jenama Honda.
“Sejak pengenalannya pada 2021, RS-X terbukti cukup popular dengan enjin berkuasa tetapi efisien bahan api dan rekaan bergaya, terutamanya lampu hadapan LED yang menyerlah. Ini membantu menjadikannya pilihan digemari pengguna Malaysia apabila memilih sebuah kapcai Honda,” katanya. – UTUSAN










