PENGUASAAN dan menghafal al-Quran penting bagi semua umat Islam menjadi pegangan kepada pengasas Pondok Al-Jaafar, Gopeng, Perak, Mohamad Tarudi Bahari.
Namun, Mohamad Tarudi berpendapat, sebagai pelengkap, seorang Muslim bukan sahaja perlu menguasai ilmu al-Quran dan agama tetapi ilmu dunia khususnya kemahiran seperti Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai salah satu mekanisme bagi seseorang bersifat mandiri (berdikari).
Lantaran itu, beliau menubuhkan Pondok Al-Jaafar pada 2006 dan selain penerapan ilmu agama, setiap penghuni diwajibkan mempelajari ilmu kemahiran TVET di pusat pengajian agama itu.
Pondok yang dibina di tanah keluasan 19 hektar setakat ini mempunyai 156 penghuni berumur tujuh hingga 78 tahun.
MOHD TARUDI BAHARI
Umur: 71 tahun
Jawatan: Pengasas Pondok Al-Jaafar, Gua Tempurung, Kampung Gunung Panjang, Gopeng, Perak
Kelulusan: Ijazah Falsafah dan Tafsir, Universiti Islam Surubaya, Jawa Timur, Indonesia dan belajar di sekolah pondok sekitar Indonesia dan Filipina.
——————————————————————————————————————————————————————
Kebanyakan pelajarnya terdiri daripada anak yatim, golongan asnaf dan warga emas. Modul pengajian adalah ilmu al-Quran, hadis dan tauhid.
“Selain penerapan ilmu agama, setiap penghuni di pondok ini diwajibkan mempelajari ilmu kemahiran TVET seperti pemasangan dan pendawaian elektrik, membaiki kenderaan termasuk jentera berat, pembinaan, pembiakan dan penternakan ikan keli dan talapia, penternakan rusa, kambing, lembu, kerbau, itik, arnab, landak dan ayam.
“Selain itu, ilmu membaiki peralatan elektrik, mengecat kenderaan, membaiki alat penghawa dingin, memasak dan pertanian sayur-sayuran dan buah-buahan skala besar.
“Pondok ini bersifat berdikari dan sumbangan pihak luar amat minimum. Perihal makanan tiada masalah kerana kami mempunyai penternak ikan keli, talapia, ayam, kambing, lembu dan kerbau untuk penyediaan makanan harian penghuni selain sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Lebihan sayur-sayuran akan dijual di pasar-pasar sekitar Gopeng dan Kampar selain yang tidak habis akan diolah semula sebagai makanan haiwan ternakan ruminan dan ikan keli serta talapia,” terangnya.
Beliau yang pernah menuntut ilmu selama lebih 10 tahun di pondok-pondok sekitar Indonesia dan Filipina berkata, pondok itu turut menawarkan perkhidmatan berkaitan pendawaian elektrik, membaiki barangan elektrik, membaiki kenderaan termasuk jentera berat, pembenihan ikan keli dan membina rumah.
“Sebenarnya pondok ini dibina sendiri oleh saya dan penghuni tanpa bantuan pihak luar. Mungkin pengalaman belajar dan menghuni beberapa pondok di Indonesia dan Filipina yang mengamalkan konsep dan TVET menyebabkan saya terapkan pendekatan itu di sini. Malah, kemahiran-kemahiran ini kami tawarkan kepada pihak luar dengan kos bayaran minimum dan
Alhamdulillah kebanyakan pelanggan merupakan pelanggan tetap dan ada yang mengambil keputusan untuk turut sama menetap bersama kami,” katanya.
Katanya, pada mulanya ramai yang terkejut kerana semua penghuni pondok tidak dikenakan sebarang yuran bulanan termasuk penginapan dan makanan.
“Satu sen pun saya tidak minta namun mereka perlu belajar agama bersungguh-sungguh selain perlu belajar kemahiran TVET secara konsisten.
“Pada mulanya mereka akan belajar semuanya sebelum kita lihat bahagian mana mereka agak mahir selain diberikan elaun bulanan sebagai simpanan pada masa depan.
“Tiada tempoh untuk mereka menetap di sini dan belajar. Sekiranya ingin keluar kelak, lepasan pondok ini ada ilmu agama dan kemahiran yang boleh digunakan di luar kelak. Ramai yang kini telah menjadi usahawan pertanian, penternakan dan mempunyai bengkel sendiri yang menjana pendapatan,” katanya.
Beliau juga tidak menolak bagi penghuni pondok itu yang ingin berkahwin dan ingin menetap di situ dengan menyediakan rumah kepada mereka.
“Cuma syaratnya, mereka harus konsisten rajin bekerja kerana rutin kami setiap hari bermula selepas solat Subuh secara berjemaah di surau pondok.
“Tiada istilah tidur selepas solat Subuh dan semuanya bekerja di sektor masing-masing sehingga kerja masing-masing sempurna,” katanya. – UTUSAN









