Tambang bas sekolah: Keputusan menguntungkan semua pihak

Tambang bas sekolah: Keputusan menguntungkan semua pihak

KERATAN Utusan Online siaran 16 Disember mengenai hasrat pengusaha bas sekolah mahu menaikkan tambang pada Tahun 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbincangan antara pengusaha bas dan ibu bapa berhubung kadar kenaikan tambang bas sekolah perlu dilakukan bagi mendapatkan keputusan menguntungkan kedua-dua pihak.

Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, walaupun kenaikan tambang dijangka berlaku susulan peningkatan kos operasi, penyelesaian yang terbaik adalah melalui perbincangan yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Katanya, tambang bas sekolah kini tidak lagi di bawah kawalan kerajaan sejak pembubaran fungsi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2015.

“Kadar tambang bas sekolah perlu ditentukan melalui perbincangan antara pengusaha dan ibu bapa tanpa campur tangan pihak ketiga.

“Keputusan mengenai kenaikan tambang ini bergantung sepenuhnya kepada persetujuan ibu bapa dan pengusaha bas. Kerajaan tidak lagi mempunyai peranan dalam menetapkan kadar tambang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan GPBSM tetap menaikkan kadar tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan 2025 mulai Februari ini.

Kadar kenaikan tambang bas sekolah itu antara RM5 hingga RM10 seorang, bergantung kepada persetujuan bersama antara pengusaha bas dan ibu bapa.

Mengulas lanjut, Mohd. Rofik berkata, pengusaha bas sekolah menghadapi cabaran apabila kos operasi terus meningkat seperti alat ganti, tayar, insurans dan gaji pekerja yang memberi tekanan kepada mereka.

“Walaupun kos operasi meningkat, kami tidak boleh menaikkan tambang sewenang-wenangnya. Setiap kenaikan perlu melalui perbincangan bersama ibu bapa untuk memastikan penyelesaian yang adil.

“Contohnya, jika berlaku kenaikan sebanyak RM5 tetapi kalau ibu bapa dan pengusaha bersetuju, ia tidak menjadi isu dan menimbulkan masalah,” katanya.

Mohd. Rofik berkata, kerajaan juga telah menyalurkan bantuan meringankan beban pengusaha bas sekolah melalui subsidi diesel.

Namun, katanya, subsidi ini hanya meliputi bahan api, sedangkan kos lain seperti alat ganti, penyelenggaraan dan insurans terus meningkat.

“Kerajaan telah banyak membantu, tetapi pengusaha tetap tersepit dengan kenaikan kos lain. Kami berharap ibu bapa memahami situasi ini dan bersedia berbincang untuk mencari jalan penyelesaian.

“Ibu bapa dan pengusaha perlu berganding bahu mencari penyelesaian. Keselamatan anak-anak adalah keutamaan dan sedikit kenaikan tambang tidak sepatutnya menjadi isu besar jika ia memastikan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Rafik berkata, ibu bapa perlu mengutamakan keselamatan anak-anak mereka dengan memilih pengangkutan yang berdaftar.

“Bas atau van yang tidak berdaftar bukan sahaja berisiko tinggi, tetapi juga tidak menyediakan perlindungan insurans sekiranya berlaku kemalangan.

“Ibu bapa harus berhati-hati agar tidak menggadaikan keselamatan anak-anak demi sedikit penjimatan.

“Pengusaha bas yang tidak berdaftar selalunya mengenakan caj lebih tinggi sekali gus mengambil kesempatan atas situasi ibu bapa yang tidak mempunyai pilihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×