PETALING JAYA: Industri pekerjaan di Malaysia yang dipengaruhi kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh 10 tahun akan datang berpotensi meningkatkan kadar pengangguran jika pekerja tidak memiliki kemahiran yang diperlukan dalam sektor tersebut.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nor Azrul Mohd Zin berkata, AI dan automasi akan menggantikan banyak pekerjaan rutin terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Kata beliau, ini mengakibatkan peningkatan pengangguran dengan pekerja yang kurang berkemahiran atau bergantung kepada kerja manual akan menghadapi risiko kehilangan pekerjaan.
“Demografi ahli organisasi yang pelbagai akan mewujudkan isu kesukaran untuk menyesuaikan diri kerana ramai pekerja yang berumur atau tidak berpendidikan tinggi, sekali gus tidak mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
“Perkembangan teknologi meningkatkan keperluan pendidikan sepanjang hayat, termasuk kemahiran seperti analitik data, pengaturcaraan, dan kejuruteraan AI. Institusi pendidikan juga perlu menyesuaikan kurikulum dengan keperluan teknologi terkini untuk menghadapi cabaran sosial yang wujud,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan, analisis terkini kerajaan menunjukkan lebih 30 peratus pekerjaan di Malaysia bakal dipengaruhi kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Selaras perkembangan itu, sektor utama seperti pembuatan, perkhidmatan dan teknologi maklumat dijangka melalui transformasi signifikan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, cabaran tenaga mahir di Malaysia kini semakin ketara dan memerlukan perhatian segera.
Beliau berkata, statistik menunjukkan lebih 600,000 pekerja perlu menjalani latihan semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun, untuk kekal relevan dalam pasaran kerja semakin kompetitif.
“Tambahan pula menjelang 2030, negara diunjur memerlukan 500,000 pekerja mahir tambahan bagi memenuhi keperluan sektor teknologi dan teknikal.
“Angka-angka ini menunjukkan keperluan mendesak untuk membangunkan ekosistem latihan dan pensijilan yang efektif,” katanya.
Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad pula menegaskan, kaedah pembelajaran di universiti perlu berubah dan tidak boleh kekal sama seperti era 90-an.
Beliau juga mencadangkan latihan semula untuk pekerja agar mereka dapat menguasai teknologi maklumat dan digital, walaupun proses ini memakan masa yang panjang, tetapi ia perlu dilaksanakan segera.
“Universiti perlu mengadaptasi kurikulum dan sistem pembelajaran yang lebih relevan dengan keperluan masa depan. Sistem universiti kita masih bergantung kepada kaedah kuliah tradisional tanpa mengambil kira perubahan yang bakal berlaku.
“Siswazah akan menghadapi cabaran besar di dunia pekerjaan terutamanya di syarikat yang telah meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dan sistem canggih jika mereka tidak didedahkan dengan teknologi terkini semasa pengajian.
“Oleh itu, struktur pembelajaran di universiti harus dirombak untuk memenuhi keperluan masa depan dan memastikan graduan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin maju,” katanya. – UTUSAN











