Hukum syarikat telekomunikasi gagal sekat jenayah scam

Hukum syarikat telekomunikasi gagal sekat jenayah scam

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengenakan tindakan terhadap syarikat telekomunikasi memandangkan jenayah penipuan dalam talian sering bermula dengan panggilan telefon atau mesej.

Pensyarah Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Dr. Mohd. Arfian Ismail berkata, penguatkuasaan terhadap mereka boleh membantu memperkukuh usaha membendung jenayah penipuan dalam talian dan scammer.

Katanya, kerajaan perlu menguatkuasakan kawal selia ketat dengan mewajibkan penyedia telekomunikasi untuk mematuhi garis panduan mengenai pengesanan dan penyekatan panggilan serta mesej penipuan.

“Selain itu, penyedia per­khid­matan telekomunikasi juga disaran menggunakan tek­nologi terkini seperti Caller ID Authentication (pengesahan identiti pemanggil) atau protokol seperti ‘STIR/SHAKEN’ untuk mengesahkan identiti pemang­gil.

“Kerajaan juga boleh me­ngenakan denda atau penalti kepada penyedia telekomunikasi yang gagal mengesan dan menyekat panggilan atau mesej penipuan.

“Pada masa sama, pihak berkaitan perlu melabur dalam teknologi seperti sistem pengesanan penipuan yang dipacu kecerdasan buatan (AI) untuk menyaring dan mengenal pasti panggilan yang mencurigakan secara automatik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan berjaya menyekat lebih 3.1 bilion panggilan penipuan dalam talian tahun lalu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, SKMM juga memproses hampir 12,000 ­aduan sekali gus yang merupakan pencapaian penting dan me­nunjukkan komitmen Malaysia dalam menangani ancaman siber dan memupuk persekitaran digital yang lebih selamat.

Mengulas lanjut, Mohd. Arfian berkata, kerajaan atau pihak berkaitan boleh mengaplikasikan penggunaan AI untuk mengesan mana-mana pihak yang mencuba untuk melakukan jenayah penipuan dalam talian.

“Kerajaan digalakkan menggunakan algoritma AI untuk menganalisis pola panggilan dan mengenal pasti tingkah laku yang mencurigakan, se­perti frekuensi panggilan dari nombor yang sama ke pelbagai penerima dalam tempoh singkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×