PETALING JAYA: Tempoh 10 hari sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bermula 16 Mei ini penting untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar sekali gus mengelak malapetaka dan gelombang lebih besar Covid-19 sekembalinya mereka daripada cuti sekolah pada 12 Jun ini.
Dalam tempoh itu, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting memastikan anak-anak mereka berada di rumah sepanjang sesi PdPR berlangsung dalam membantu mengekang pandemik Covid-19 yang setakat ini telah mengundang kluster sekolah dan 207 ditutup.
Menyifatkan langkah itu yang terbaik buat masa ini, rata-rata warga pendidik mahu Kementerian Pendidikan memastikan segala keperluan untuk pelajar termasuk peranti yang sesuai dan halangan yang timbul seperti sebelum ini diatasi secepat mungkin.
Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura Universiti Utara Malaysia (UUM-ITS), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, melihat kepada data dan statistik peningkatan Covid-19 kebelakangan ini khususnya di sekolah sememangnya menjadi keperluan PdPR kembali dilaksanakan.
Katanya, langkah itu bertepatan dengan usaha mengekangpenularan Covid-19 malah kaedah PdPR sekurang-kurangnya membantu pelajar meneruskan pembelajaran tanpa merisikokan diri mereka sekiranya belajar secara bersemuka apabila kembali semula ke sekolah.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah tersebut diambil bagi mempercepatkan proses pemindahan penduduk tersebut.
“Saya berharap melalui peruntukan sedia ada kerajaan dapat menyediakan peranti yang sesuai untuk kemudahan pelajar mengikuti proses pembelajaran di rumah.
“Sekiranya dilaksanakan dengan cara PdPR sekali pun, namun secara sistematik, insya-Allah dapat memberi impak yang positif,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Kelmarin, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, lebih lima juta pelajar akan mengikuti PdPR sekali lagi selepas Hari Raya Aidilfitri bermula 16 Mei hingga 28 Mei ini.
Katanya, ia akan dilaksanakan selama 10 hari sebelum cuti penggal persekolahan yang bermula pada 28 Mei ini.
Sesi persekolahan bersemuka ditutup pada 11 Mei ini untuk cuti Aidilfitri dan bersambung sehingga cuti penggal yang akan berakhir pada 12 Jun ini.
Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Pulau Pinang, Mohd. Zaidi Said berkata, pelajar sekolah rendah dan menengah perlu memberi tumpuan sepenuhnya pada sesi PdPR itu mengikut jadual yang ditetapkan pihak sekolah.
“Ibu bapa memainkan peranan penting dengan memastikan anak-anak tidak berada di tempat yang tidak sepatutnya termasuk di lokasi tumpuan ramai serta aktiviti kunjung-mengunjung semasa Hari Raya.
“Beri tumpuan dalam sesi PdPR sepenuhnya seperti belajar di sekolah. Paling penting, jaga kebersihan dan keselamatan sebagai persiapan memulakan pembelajaran secara bersemuka di sekolah nanti.
“Tempoh 10 hari PdPR umpama pelajar menjalankan kuarantin kendiri di rumah bagi sama-sama membantu mengekang penularan pandemik Covid-19 di sekolah nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, bagi memastikan pelajar miskin dan luar bandar yang tiada kemudahan mengikuti PdPR tidak ketinggalan, guru perlu menyediakan modul pembelajaran master yang fokus kepada penguasaan pelajar dalam sesuatu perkara yang dipelajari.
Katanya, melalui pembelajaran masteri, pelajar diberi peluang untuk maju mengikut kebolehan dan kadar pembelajaran mereka sendiri serta dapat mempertingkatkan tahap penguasaan pembelajaran.
Menurutnya, modul pembelajaran masteri boleh membantu perkembangan pembelajaran pelajar.
“Modul tersebut perlu ada penerangan cara menjawab soalan serta contoh penyelesaian masalah bagi membolehkan pelajar menyelesaikan soalan yang terdapat dalam modul tersebut.
“Contoh mudahnya seperti membaca al-Quran. Siapa laju dia boleh bergerak ke hadapan mengikut kebolehan pembaca,” katanya di sini.
Dalam perkembangan sama, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bersama Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan itu, namun menggesa segerakan pemberian alat peranti seperti dijanjikan pada Februari.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, tindakan itu bertepatan dengan ancaman Covid-19 yang menyebabkan ramai murid dan guru dijangkiti.
“Walaupun kita sedar bahawa impak positif terhadap PdPR tidak sama dengan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di sekolah, namun NUTP berpandangan, langkah ini adalah usaha terbaik KPM dalam memutuskan rantaian Covid-19.
“Malah, dengan pengumuman awal mengenai pelaksanaan PdPR ini pastinya tidak menjadi masalah buat para guru membuat persiapan bahan pembelajaran,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Aminuddin, kita sedar bahawa ramai dalam kalangan murid tidak mempunyai peranti dan capaian internet, namun dengan tempoh masa yang ada sekarang ini membolehkan para guru menyediakan modul-modul pembelajaran untuk digunakan.
“Terutamanya murid-murid yang tidak mempunyai peranti dan capaian internet yang menjadikan ia sebagai PdPR secara luar talian,” katanya. – UTUSAN










