PENGLIHATAN melalui organ mata merupakan anugerah Tuhan paling besar untuk manusia. Manusia berpeluang melihat apa sahaja yang berada di setiap sudut sehingga membolehkannya mentafsir setiap ciptaan dan keajaiban yang berlaku.
Persoalannya, berapa ramai dalam kalangan kita benar-benar menjaga kesihatan mata dan bersyukur akan kurniaan ini sehingga berlaku musibah menyebabkan nikmat melihat diberi Tuhan ‘ditarik’ semula?
Ketika itu, ‘menangis air mata darah’ sekalipun tidak akan mengembalikan kedua-dua mata yang dahulunya sihat. Apa yang boleh dilakukan sekarang hanya pasrah dengan ketentuan takdir.
Ada yang mencari ikhtiar lain sehingga terpaksa berbelanja ratusan ribu dengan harapan dapat melihat semula.
Sebab itu, penting bagi setiap individu menjaga kesihatan seluruh badan bagi mengelakkan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi kerana ia berisiko menyebabkan kesihatan pada mata terutama retina terjejas.
Ini seperti yang dipersetujui oleh Pakar Perunding Oftalmologi dan Vitreo-Retina, Dr. Amin Ahem, penyakit kronik boleh ‘menyerang’ mata sehingga merosakkan saraf retina.
Beliau merujuk kepada data Saringan Retinopati Diabetik Edisi Kedua 2017, Kementerian Kesihatan (KKM), kadar prevalens retinopati diabetik dalam kalangan pesakit kencing manis di Malaysia 36.8 peratus seperti yang dilapor dalam Pendaftaran Diabetes Nasional (NDR) 2007.
“Ada dalam kalangan kita kurang kesedaran dan tidak mengamalkan gaya pemakanan sihat sehingga menghidap penyakit kronik. Ramai golongan berumur 40 tahun dan ke atas termasuk golongan muda menghidap penyakit kencing manis.
“Sebab itu penting jika setiap punca penyakit dapat dirawat dengan segera kerana jika retina sudah rosak berpunca daripada penyakit kencing manis dan sebagainya sehingga tahap sukar pulih, ia tidak boleh diganti kerana ia melibatkan saraf mata.
“Kesedaran awam mengenai hal ini dan pengesanan awal masalah penglihatan mata perlu dengan pemeriksaan secara berkala serta mengamalkan gaya hidup sihat supaya penglihatan kita kekal baik sepanjang hayat,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Rekod Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) mendedahkan, Malaysia mempunyai jumlah penghidap penyakit kencing manis atau diabetes mellitus kelima tertinggi di Wilayah Pasifik Selatan, menyaksikan 20 peratus kelaziman pada orang dewasa.
Kencing manis, darah tinggi rosakkan mata
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023: Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan Permintaan Jagaan Kesihatan serta Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia merekodkan, lebih setengah juta atau 2.5 peratus penduduk dewasa negara ini menghidap empat NCD iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.
Bagi kadar prevalens setiap penyakit pula adalah kencing manis (15.6 peratus), darah tinggi (29.2 peratus), kolesterol tinggi (33.3 peratus) dan obesiti (54.4 peratus).
Dr. Amin yang berkelulusan Sarjana Surgeri Oftalmologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah pengasas Pusat Rawatan Mata AMIIN Eye Specialist Centre di IOI Conezion, Putrajaya, menyediakan perkhidmatan berkaitan rawatan mata yang telah memulakan operasinya pada 2 Mei 2024 tahun lalu.

Pusat kesihatan itu menawarkan pelbagai jenis rawatan mata seperti katarak, diabetik retinopati dan makulopati, saraf retina lekang dan glaukoma.
Mengulas lanjut, Dr. Amin yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan Universiti Malaysia (UM) berkata, risiko darah tinggi juga membawa kesan sama kepada masalah penglihatan mata yang dikenali sebagai retinopati hipertensi.
Katanya, retinopati hipertensi menyaksikan penglihatan pesakit terganggu disebabkan darah tinggi kronik dan tidak terkawal sehingga menyebabkan kerosakan pada pembuluh darah atau salur darah di mata dan serangan strok mata.
Beliau dengan subkepakaran Fellowship in Vitreoretinal Diseases and Surgery (Singapura) berkata, terdapat beberapa peringkat retinopati hipertensi berisiko berlaku selepas menghidap penyakit darah tinggi yang tidak terkawal.
Kata Dr. Amin, biasanya tiada sebarang gejala dialami pesakit sehingga penglihatan mereka mulai kabur selain gangguan pada penglihatan akibat kebocoran pembuluh darah pada lapisan saraf retina dan pembengkakan pada saraf optik.
“Tekanan darah tinggi yang kronik menyebabkan pembuluh darah arteri pada retina tebal dan sempit sehingga mengganggu aliran oksigen ke bahagian mata seterusnya mengganggu saraf optik,” katanya.
Beliau mengingatkan masyarakat supaya berjumpa, mendapatkan rundingan dan rawatan dengan doktor pakar sebelum keadaan bertambah serius.
“Usah bimbang, kita masih boleh mencegahnya dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti mengawal pengambilan gula, tidak minum alkohol, menjaga pemakanan, bersenam dan tidak merokok,” katanya. – UTUSAN










