WAJAHNYA yang seakan tersenyum menambah pesona dan mencipta keakraban bersama pemilik, Nur Syahirah Muhamed Yazid,26.
Kelebihan itu juga menjadikan cicak gurun ini haiwan peliharaan yang memikat dan disayangi Nur Syahirah.
Cicak gurun atau nama saintifiknya Eublepharis Macularius adalah sejenis cicak yang berasal dari kawasan kering dan separuh berpasir di Asia Tenggara termasuk India, Pakistan, Iran dan Afghanistan.
Menurut Nur Syahirah, beliau tidak pernah terfikir untuk memelihara cicak gurun. Bagaimanapun, minatnya berubah setelah mengenali keunikan haiwan eksotik ini serta keinginannya untuk mencuba membela haiwan eksotik.

KOMITMEN TINGGI
Katanya, untuk lebih memahami keperluan cicak gurun, beliau mula mencari maklumat melalui artikel, menonton video dan bertanya kepada individu yang berpengalaman.
“Pada mulanya, saya mengenali cicak gurun melalui seorang rakan.
“Saya tertarik dengan penampilan yang unik seperti mempunyai ekor tebal, mata bulat dan tubuh yang dihiasi bintik-bintik cantik.
“Saya mempelajari tentang keperluan persekitaran yang sesuai, pemakanan seimbang, serta penjagaan kesihatan yang perlu diberikan untuk memastikan kesejahteraan cicak gurun,” katanya kepada Seri.
Tambahnya, menjaga cicak gurun memerlukan perhatian yang mendalam antaranya memastikan suhu dalam sangkar sesuai, menyediakan tempat persembunyian yang selesa serta memberikan makanan yang tepat dan bervariasi.
“Memelihara haiwan eksotik memerlukan komitmen yang tinggi. Penyediaan sangkar yang sesuai, lampu UVB dan bekalan serangga sebagai makanan bukanlah perkara yang boleh diambil ringan.
“Setelah meneliti segala aspek tersebut termasuk kewangan, saya akhirnya membuat keputusan untuk membawa cicak gurun ke dalam hidup saya,” katanya.
Mengulas lanjut, Nur Syahirah berkata, cicak gurun yang dinamakan sebagai Hazel mula dibela sejak empat tahun yang lalu.
UNIK
Si manja itu dinamakan sebagai Hazel kerana warna kulitnya yang seakan-akan warna hazel yang lembut dan menawan.
Bercerita tentang pengalamannya bersama Hazel, Nur Syahirah berkata, Hazel bukanlah haiwan yang terlalu mesra, tetapi memiliki keperibadian yang unik dan menarik.
Katanya, Hazel adalah seekor haiwan yang penuh dengan rasa ingin tahu dan mempunyai semangat yang tinggi.
“Apabila tiba waktu senja, Hazel akan sibuk menjelajah seluruh sangkarnya. Kadang-kadang dia akan memanjat sisi sangkar atau merangkak ke atas platform kecil di dalamnya.
“Walaupun sedang tidur, Hazel tidak dapat menahan rasa ingin tahunya. Setiap kali saya mendekat, dia akan keluar dari tempat persembunyian dan duduk di depan sangkar, seolah-olah menunggu sesuatu.
“Mungkin dia hanya ingin melihat siapa yang datang atau mungkin hanya ingin memastikan saya tidak membawa sesuatu yang menarik untuk dimakan,” ujarnya.
Di sebalik keperibadiannya, Hazel juga istimewa kerana mampu menyimpan lemak dan nutrisi di ekornya yang besar.
DIET
Sementara itu, Nur Syahirah berkata, cicak gurun merupakan haiwan insektivor yang memerlukan diet khas berdasarkan serangga seperti lipas dubia, ulat tepung, cengkerik dan larva lalat askar hitam (BSFL).
Katanya makanan utama yang sering diberikan kepada Hazel adalah ulat tepung.
Sarannya, penjaga juga perlu memberi variasi serangga bagi memastikan mereka tidak bosan dan mendapat nutrisi yang seimbang.
“Pemberian pelbagai jenis serangga adalah kunci untuk meningkatkan selera makan dan memberi nutrisi yang berbeza.
“Namun, penting untuk memberi serangga dalam jumlah yang sederhana bagi mengelakkan obesiti. Sekiranya terdapat benjolan di ketiak mereka, ini adalah tanda mereka terlalu berat atau mengandungi kalsium yang berlebihan.
“Oleh itu, serangga yang diberikan perlu dicampur dengan suplemen kalsium, terutamanya kalsium yang mengandungi D3, serta suplemen multivitamin. Di samping itu, cicak gurun juga memerlukan air yang bersih dan segar setiap masa,” katanya.-UTUSAN










