Kombinasi seimbang Inggeris Moden, Nordik Tropika

Kombinasi seimbang Inggeris Moden, Nordik Tropika

kehadiran tumbuhan hijau dan unsur kayu membangkitkan suasana tropika dan nordik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat luaran kediaman ini, saya sudah dapat meneka pemiliknya menggemari konsep Inggeris.

Hiasan bungaan yang dipadankan dengan rekaan kayu pada bahagian luar rumah memberikan suasana kediaman ala barat.

Namun, menjengah ke ruangan di bahagian dalam lebih menarik perhatian kerana ia menggabungkan beberapa gaya yang menurut saya amat menarik.

Gaya Inggeris Moden dipadankan dengan konsep Nordik dan Tropika pada beberapa ruang berjaya membangkitkan suasana harmoni dan nyaman pada keseluruhan ruang.

Pemilik kediaman, Noraida Mat Yusof, 40, berkata, konsep berkenaan dipilih untuk mewujudkan suasana berbeza pada banglo setingkat setengah itu.

“Saya memilih pelbagai konsep untuk mewujudkan suasana yang berbeza namun kombinasi ketiga-tiga konsep ini nampak harmoni dan sesuai digandingkan bersama.

“Saya sukakan kehijauan, ketenangan, ringkas dan ada sentuhan estetik klasik. Oleh itu konsep-konsep ini sangat menepati cita rasa saya,” katanya.

bahagian luar rumah yang mengetengahkan gaya Inggeris dengan hiasan bunga dan elemen kayu.

RONA CERAH, NEUTRAL

Tambahnya, elemen yang dititikberatkan bagi menepati konsep itu adalah pemilihan warna cerah dan neutral.

Penggunaan perabot pula lebih kepada gaya vintaj yang diperbuat daripada kayu.

Manakala langsir, permaidani dan sofa tidak bercorak atau dengan corak yang sangat terhad.

“Saya juga meletakkan gubahan bunga serta pokok-pokok hijau untuk membuatkan ruang nampak hidup dan segar.

“Selain itu, reka bentuk siling jenis coffered dan cornice, lantai jubin bercorak kayu dan Cabochon serta penggunaan lampu gantung menambahkan lagi elemen Inggeris dalam rumah ini,” katanya yang mengambil masa setahun untuk melengkapkan konsep berkenaan.

Keseluruhan ruang dilatari dengan kombinasi rona neutral dan lembut iaitu putih dan greige (kombinasi kelabu dan beige) untuk dinding dan langsir bagi memberi kesan tenang dan ruang kelihatan lebih luas.

Lantai bercorak kayu serta perabot berwarna putih dan warna kayu memberikan warna neutral.

perabot lebih kepada gaya vintaj yang diperbuat daripada kayu.

Warna cerah dan neutral adalah gabungan lengkap untuk konsep-konsep ini.

Ia mencipta suasana tenang, segar dan selesa di samping boleh menjadi elegan dan praktikal dalam masa yang sama.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk memastikan rumah sentiasa bersih dan kemas kerana rumah ini tidak sarat dengan perabot dan hiasan rumah.

“Selain itu warna cerah sebenarnya memudahkan saya untuk mengesan kotoran,” katanya yang banyak mengambil inspirasi di laman dekorasi dalam talian.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×