ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bakal kembali berlatih di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) hari ini setelah Perbadanan Stadium Negeri Kedah (PSNK) ‘berlembut’ untuk membenarkan mereka menggunakan padang tersebut hingga 10 Januari ini.
Menurut sumber dalaman pasukan, kebenaran itu bagaimanapun bersyarat dengan pihak KDA FC diminta memberikan komitmen untuk membayar sebahagian daripada tunggakan sewaan padang tersebut.
Situasi itu dilihat mendatangkan sedikit kelegaan kepada Sang Kenari setidak-tidaknya untuk mereka membuat persiapan bagi menghadapi Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 10 Januari nanti.
“Memang sebelum ini kami tidak dibenarkan lagi untuk menjalani latihan di SSAH tetapi malam tadi, rayuan kami akhirnya diterima dengan pihak PSNK membenarkan pasukan menggunakan padang untuk latihan hingga 10 Januari ini.
“Itu pun dengan syarat di mana pihak pengurusan perlu menunjukkan komitmen untuk membayar sebahagian daripada tunggakan sewa. Insya Allah, perkara itu sedang diusahakan ketika ini,” katanya.
Utusan Malaysia melaporkan bahawa para pemain dan pegawai KDA FC dimaklumkan yang mereka tidak boleh lagi berlatih di SSAH berikutan tunggakan sewa yang terlalu besar.
Perkara itu dimaklumkan kepada pemain dan barisan kejurulatihan sebaik mereka selesai menjalani latihan kelmarin.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah, Muhammad Radhi Mat Din berkata, beliau akan mengambil langkah untuk mengadakan perbincangan dengan kedua-dua belah pihak berhubung perkara itu.
Muhammad Radhi yang juga Timbalan Pengerusi PSNK berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan berterima kasih kepada Utusan Malaysia yang menyampaikan perkara tersebut kepadanya.
“Perkara ini akan dibincangkan secara dalaman dan saya akan berusaha menjadi orang tengah untuk mengimbangkan keadaan. Di satu pihak, kita faham kesukaran yang mereka hadapi tetapi apabila bercakap tentang hutang, sudah tentu ada audit yang perlu dilaksanakan dengan PSNK juga akan dipersoalkan serta dipantau mengenai usaha mereka dalam melakukan kutipan.
“Setakat ini saya pun tak tahu berapa jumlah sewaan yang tertunggak. Tetapi insya Allah selepas ini saya akan dapatkan maklumat daripada pihak berkaitan,” katanya. – UTUSAN











