PUTRAJAYA: Pihak pengurusan sekolah dalam kalangan pengetua, guru besar dan guru-guru pentadbir diberi amaran supaya tidak merahsiakan sebarang kejadian atau kes buli membabitkan pelajar di sekolah.
Itu amaran keras dikeluarkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek susulan insiden buli ‘ala komando’ dilaporkan sebuah akhbar yang dipercayai dikesan berlaku di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.
Menurutnya, pihaknya juga mengesahkan telah menerima laporan mengenai perkara itu dan ia dalam proses siasatan untuk tindakan lanjut.
“Kita sudah terima (laporan) maknanya kes itu dalam proses siasatan di peringkat KPM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar Pengoperasian Peperiksaan SPM Tahun 2024 di sini semalam.
Beliau pada masa sama ingin menegaskan semula bahawa tiada kompromi dalam soal buli dan semua prosedur pengendalian kes perlu diselesaikan mengikut garis panduan ditetapkan.
Fadhlina berkata, setiap kes buli perlu ada tindakan susulan, malah aduan juga boleh dibuat terus melalui Portal Aduan Buli (https://www.moe.gov.my/aduanbuli) secara dalam talian, emel, panggilan telefon atau WhatsApp ke nombor 014-8009325.
Ditanya mengenai aduan kononnya ada pengetua mempersoal aduan buli dibuat ibu bapa, Fadhlina berkata, ibu bapa mempunyai hak untuk mengemukakan sebarang aduan jika merasakan mereka tidak mendapat keadilan sepatutnya.
“Ibu bapa berhak untuk melanjutkan aduan tersebut ke peringkat yang lebih tinggi termasuk pihak autoriti dan pihak KPM,” katanya.
Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan wujudnya tindakan buli ‘ala komando’ oleh pelajar senior kepada pelajar junior di sebuah sekolah berasrama penuh di ibu kota.
Pendedahan itu dibuat selepas bapa kepada seorang mangsa buli mendakwa, pengetua mempersoalkan tindakannya untuk membuat surat aduan berhubung tindakan buli tersebut.
Sementara itu, Fadhlina berkata, kehadiran calon bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 setakat pagi ini mencecah 97 peratus.
Beliau berkata, ia satu jumlah kehadiran yang baik bagi hari pertama ujian bertulis peperiksaan itu dan pihaknya sedang dalam proses mengemaskini kehadiran bagi baki calon lain.
“Kita masih lagi dalam proses untuk kemas kini. Masih ada lagi yang belum mengenal pasti dan mengesahkan kehadiran mereka.
“Ada lebih kurang 10,000 calon lagi, jadi kita harap kehadiran ini dapat kita pertingkatkan untuk memastikan anak-anak kita hadir SPM,” katanya.
Fadlina berkata, secara keseluruhannya, hari pertama SPM 2024 berjalan dengan lancar yang akan dilaksanakan sehingga 6 Februari depan.
Menurutnya, jumlah keseluruhan calon SPM 2024 tahun ini adalah seramai 402,956 orang dengan 3,337 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
“Jumlah petugas peperiksaan pula adalah seramai 44,968 orang termasuk 5,780 pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan,” katanya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Wong berkata, calon SPM yang menghadapi sebarang masalah diminta menghubungi talian bilik gerakan Lembaga Peperiksaan atau Jabatan Pendidikan Negeri










