KUBANG PASU: Pelancong Thailand gemar mengunjungi Gunung Jerai atau kafe-kafe viral sekitar bandar raya Alor Setar yang disifatkan berbeza daripada negara mereka berbanding tempat lain.
Seorang ejen pelancongan Thailand yang juga bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Satun di Songkhla, Rosee Bikadem memberitahu, selain itu Langkawi turut menjadi perhatian orang Thailand yang ingin membeli belah kerana barangan bebas cukai termasuk coklat.
Katanya yang aktif dalam pertubuhan berasaskan pelancongan dan koperasi Islam ini, beliau menerima banyak tempahan daripada penduduk di kawasan itu untuk mengunjungi lokasi berkenaan.
“Orang Thailand mencari sesuatu yang berbeza yang tidak ada di negara kami dan pusat pelancongan seperti Gunung Jerai menjadi perhatian ketika mereka memilih untuk melancong ke Kedah. Mungkin kerana cuaca yang sejuk dan pemandangan menarik dari atas gunung itu.
“Mereka juga suka jalan-jalan di Kedah termasuk membeli belah di pusat beli-belah di Alor Setar dan pergi ke restoran terkenal di sini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini semalam.
Menurut Rosee, setiap bulan beliau menerima tempahan antara 500 hingga 1,000 pelancong dari Songkhla untuk melancong ke Malaysia termasuk Kedah.
“Saya percaya Kedah juga mempunyai banyak tempat menarik dan jika dipromosikan dengan hebat tentu lebih ramai orang Thailand ingin datang ke sini,” katanya.
Dalam pada itu menurut salah seorang pelancong, Pimcanok Prismsai, 37, dia bersama rakan-rakannya sering ke Kedah untuk ‘memburu’ kafe-kafe yang tular di media sosial untuk melepak.
“Kedah banyak kafe yang cantik dan selesa untuk ‘healing’. Makanan pun sedap. Misalannya kalau nak sambut hari lahir ke kami akan pilih datang ke sini selepas itu jalan-jalan di Aman Central.
“Saya bercadang untuk ke Langkawi pula nanti untuk beli-belah kerana barang di sana murah seperti coklat,” katanya.











