BUKIT MERTAJAM : “Bagi saya mudah sahaja. Kalau (rasa) saya bagus, ambillah saya (beraksi). Kalau saya tak bagus, ketepikan saya. Saya masih ada kelab saya (Selangor FC) dan saya boleh berusaha untuk kelab saya.”
Itu kata Faisal Halim ketika ditanya mengenai peluangnya untuk kembali bersama skuad kebangsaan terutamanya selepas penstrukturan baharu skuad Harimau Malaya.
Menurut bekas pemain Pahang dan Terengganu itu, selepas lebih setahun tidak mendapat panggilan dalam skuad kebangsaan, dia berusaha sebaik mungkin untuk kembali ke prestasi terbaiknya seperti dulu.
“Ya, sekarang dah sampai waktu untuk saya kembali. Bagi masa dan ruang untuk saya perbetulkan apa-apa yang ‘berkarat’,” kata anak jati Pulau Pinang itu.
Untuk rekod, Faisal yang kini berusia 27 tahun sebelum ini melecur teruk akibat terkena simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada Mei tahun lepas.
Bagaimanapun, pemain bertubuh kecil itu berjaya membuat kemunculan semula bersama skuad Gergasi Merah kira-kira tiga bulan kemudian walaupun beraksi sebagai pemain gantian pada ketika itu.
Mengulas lanjut, Faisal berkata, dia kini bersedia untuk kembali menyinar seperti dulu, namun, masih memerlukan sedikit masa serta kerja keras untuk tujuan itu.
“Sekarang, saya sudah 100 peratus (cergas) dan boleh bermain 90 minit (masa penuh). Cuma saya perlu cari balik sentuhan-sentuhan berbisa seperti jaringan, ‘dribble’ (kawalan bola) dan ‘speed’ (kepantasan) saya seperti sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, Faisal ditemui semasa menghadiri Kejohanan Bola Sepak Permatang Pauh Madani Bawah 12 Tahun anjuran Akademi Bola Sepak DNA Faisal Halim dan Skuad Bola Sepak Rembat Dadah di Mengkuang Titi di sini, semaam.
Mengulas mengenai kejohanan itu, kata Faisal, dia berbangga kerana Pulau Pinang banyak menghasilkan bakat-bakat baharu dalam bola sepak dan berharap agar bakat tersebut digilap dengan sebanyaknya. – UTUSAN











