Revolusi Harimau Malaya ambil masa

Revolusi Harimau Malaya ambil masa

Pencapaian skuad Harimau Malaya tidak boleh diharap dalam masa yang singkat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peminat bola sepak tempatan tidak boleh mengharapkan Harimau Malaya mempamerkan impak segera selepas proses revolusi skuad kebangsaan dilaksanakan.

Ini kerana proses membentuk pasukan yang betul-betul mantap memerlukan masa dan bukannya seperti menghasilkan ‘mi segera’ yang membuahkan hasil dalam masa singkat.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, wajah baharu Harimau Malaya dalam fasa revolusi memerlukan masa sebelum membuahkan hasil yang diingini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Robert Douglas Friend yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan bukan orang ahli ‘silap mata’ yang boleh menghadirkan magis sekelip mata untuk peminat Malaysia.

“Bekas pemain Kanada itu perlu buat ‘kerja rumah’, begitu juga dengan ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski selepas melihat keputusan skuad negara ketika berdepan New Zealand (persahabatan) dan Piala ASEAN 2024.

“Rob Friend juga perlu mendapatkan kerjasama semua pihak dalam FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sebelum memulakan tugas bagi mengelak pertindihan. Beliau kini di Malaysia dan bukannya di negara ‘sama kulit’ dengannya.

“Beliau kena bersedia pelbagai masalah yang kita sedia maklum seperti menguruskan ego kelab-kelab, karenah orang-orang politik dan juga membina pasukan dengan kekangan bajet yang rendah.

“Oleh sebab itu, saya rasa untuk dapatkan hasilkan segera agak sukar. Apa pun, perkara ini perlu dibuktikan pada kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung pada Mac depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, penilaian terhadap kualiti Harimau Malaya boleh dilakukan selepas semua pemain yang inginkan jurulatih dapat dikumpulkan.

“Kita belum melihat keseluruhan skuad Harimau Malaya selepas pelantikan pengendali baharu dan mungkin ada penambahan dari segi pemain naturalisasi atau warisan yang sedang diusahakan oleh Tunku Mahkota Ismail.

“Kita tidak boleh kata hari ini ambil jurulatih baharu atau buat perubahan, esok dah nak tengok keputusan. Segalanya memerlukan masa.

“Jurulatih juga perlu ruang untuk menilai corak serta taktikal sesuai untuk pasukan termasuk selain menilai pemain yang akan dibawa masuk dalam pasukan. Jadi, ia memerlukan masa, Jadi saya tidak boleh nak cakap kena tunggu perlawanan pertama nanti,” katanya.

Projek revolusi Harimau Malaya yang dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bakal membuka lembaran baharu kepada proses meningkatkan prestasi skuad negara di pentas antarabangsa.

Langkah awal revolusi skuad kebangsaan menyaksikan Cklamovski diumumkan sebagai pengendali baharu Harimau Malaya dan bekas jurulatih Kedah, Nafuzi Zain untuk mengemudi skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.

Tunku Mahkota Ismail juga memberikan bayangan terdapat beberapa pemain yang bakal dinaturalisasikan termasuk penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan pemain sayap Sri Pahang, Manuel Hidalgo. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×