FAM nafi dakwaan Perlis FA  

FAM nafi dakwaan Perlis FA    

NOOR AZMAN RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan pihaknya mengambil tindakan terburu-buru dalam keputusan menggantung Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi termasuk menganiaya mana-mana persatuan negeri termasuk PFA.

Sebaliknya katanya, keputusan yang diambil oleh badan induk itu adalah mengikut lunas perlembagaan dan proses yang ditetapkan sebelum membuat mana-mana keputusan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, PFA mempunyai hak untuk mengambil tindakan susulan termasuklah menyaman FAM susulan daripada keputusan pergantungan tersebut.

“Kita membuat keputusan mengikut pertimbangan sewajarnya kerana ia mengikut statut dan perlembagaan persatuan selain melalui proses yang ditetapkan.

“Jika mereka (PFA) mahu ambil tindakan terpulang kepada mereka kerana apa yang kita lakukan mengikut perlembagaan.

“Keputusan dibuat mengikut arahan FIFA dan FAM juga telah didenda CHF5,000 (RM24,700) atas kesalahan yang mereka lakukan sebelum ini,” katanya.

Kelmarin, PFA memfailkan saman terhadap FAM bagi mencabar keputusan badan induk bolasepak negara itu yang didakwa menggantung keahlian persatuan berkenaan tanpa prosedur yang sah pada 4 Disember lalu.

Keputusan FAM itu dibuat semasa Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM berhubung kegagalan PFA mematuhi arahan dikeluarkan Fifa untuk membayar gaji tertunggak dan pampasan kontrak yang dituntut bekas Pengarah Bola Sepak PFA, Matt Holland pada 2019.

Dalam Mesyuarat Eksekutif FAM kali ke-13 itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM, Saaran Nadaraja bersetuju untuk menggantung PFA daripada menjadi ahli gabungan FAM sehingga persatuan itu membuat bayaran penuh seperti diarahkan FIFA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×