SEOUL: Mahkamah Korea Selatan meluluskan waran tangkap untuk Presiden, Yoon Suk Yeol, yang didakwa dan digantung tugas berhubung keputusannya untuk mengenakan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu, lapor pihak berkuasa penyiasat.
Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) mengesahkan Mahkamah Daerah Barat Seoul meluluskan waran yang diminta oleh penyiasat yang meneliti undang-undang tentera diumumkan Suk Yeol.
Ia merupakan waran tangkap pertama yang dikeluarkan untuk seorang penyandang presiden di Korea Selatan, menurut media tempatan.
“Waran tangkap semasa itu akan berkuat kuasa sehingga 6 Januari dan sebaik sahaja ia dilaksanakan, Suk Yeol dijangka ditahan di Pusat Tahanan Seoul,” lapor Yonhap memetik CIO.
Peguam Suk Yeol bagaianapun berkata, waran tangkap itu tidak sah dan mendakwa badan yang menyiasat pemimpin yang digantung itu tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat kes itu.
Tidak jelas bila atau bagaimana waran tangkap tersebut akan dilaksanakan.
Perkhidmatan keselamatan presiden Korea Selatan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mengendalikan waran tangkap itu mengikut proses sewajarnya.
Dalam pada itu, mahkamah juga meluluskan waran geledah untuk kediaman Suk Yeol.
Sebelum ini, polis cuba untuk menyerbu pejabat presiden sebagai sebahagian daripada siasatan tetapi gagal kerana perkhidmatan keselamatan presiden menyekat akses.
Sejak wal pagi tadi, anggota polis dikerahkan di luar kediaman Suk Yeol di tengah Seoul, dalam usaha untuk mengelakkan sebarang pergaduhan dan kekecohan.-AFP/REUTERS










