PETALING JAYA: Pekerja-pekerja di sektor swasta dan kerajaan berharap agar Tahun Baharu 2025 membawa perubahan yang lebih baik dalam pengurusan sumber manusia serta insentif yang lebih menghargai mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata pekerja mengharapkan majikan lebih menghargai usaha mereka, terutama dengan menyediakan insentif tambahan, sistem kerja yang lebih cekap, serta gaji yang lebih relevan dengan kos sara hidup semasa.
Pekerja swasta, Nurul Shafikah Baharudin, 24, berkata, penghargaan daripada majikan penting bagi memastikan keseimbangan antara kehidupan peribadi dan pekerjaan, selain mengekalkan kesetiaan pekerja.
“Saya harap semua majikan selepas ini lebih hargai pekerja sebab bidang pekerjaan ini luas dan banyak syarikat bersaing antara satu sama lain. Bila-bila masa sahaja pekerja boleh tukar ke syarikat lain jika ditawarkan insentif yang menarik.
“Jadi, sebagai pekerja, saya harap majikan lebih menghargai staf dengan menyediakan insentif yang banyak, tingkatkan lagi sistem pengurusan yang membantu pekerja selesaikan tugas dengan lebih pantas, dan beri ruang untuk pekerja capai keseimbangan antara kerja dan kehidupan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Nurul Shafikah juga menyarankan agar gaji bagi graduan baharu dinaikkan seiring dengan kenaikan kos sara hidup.
“Untuk graduan yang baru ingin memulakan kehidupan di alam pekerjaan, saya harap semua syarikat dapat beri gaji yang setimpal dengan tahun akan datang ini. Tidak relevan lagi gaji bawah RM2,000 sebab harga barang semua mahal,” tambahnya.
Seorang kerani swasta, Siti Ruzana Muhammad Ishak, 54, berkata, pekerja sektor swasta berharap kerajaan memperkenalkan program pembelian rumah pertama yang lebih mesra kepada mereka.
Katanya, insentif seperti subsidi pembelian dan pinjaman mudah dilihat dapat meringankan beban pekerja untuk memiliki kediaman sendiri.
“Langkah ini dianggap penting dalam menangani isu kos perumahan yang semakin tinggi, terutama di kawasan bandar.
“Dengan program sebegini, pekerja swasta yakin kehidupan mereka akan lebih stabil dan sejahtera menjelang 2025,” katanya.
Dalam pada itu, seorang ahli Bomba dan Penyelamat Malaysia, Emran Suparman, 54, berkata, diharapkan adanya kenaikan gaji dan elaun seiring dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Katanya, penjawat awam yang bertugas menyelamatkan nyawa individu lain sebegini seharusnya diberikan penghargaan melalui insentif gaji yang tinggi selaras dengan kadar kesukaran kerja tersebut.
“Penambahbaikan sistem pencen juga dilihat penting untuk memastikan simpanan yang mencukupi dan masa depan keluarga lebih terjamin.
“Langkah ini diharapkan dapat meningkatkan motivasi serta kesejahteraan penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka dengan lebih proaktif,” katanya.
Sependapat dengan itu, seorang guru taska, Nor Irwani Zulkifli, 29, turut berharap agar gaji dinaikkan sesuai dengan keperluan pada tahun hadapan.
“Saya berharap kenaikan gaji yang adil diberikan kepada semua gred pekerja. Walaupun bekerja secara kontrak, kami tetap mencurahkan seluruh tenaga dan komitmen untuk melaksanakan tugas dengan baik,” ujarnya. – UTUSAN










