Permintaan pasaran sewa hartanah stabil

Permintaan pasaran sewa hartanah stabil

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI perunding hartanah dari IQI Reality Sdn. Bhd., Amiruddin Abdul Rahman, permintaan dan penawaran pasaran sewa hartanah adalah stabil di Malaysia.

“Di kawasan bandar permin­taan sewa sentiasa ada disebabkan terdapat banyak bangunan komersial wujud di mana ia mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan dalam masa yang sama ia akan menambahkan populasi penduduk setempat.

“Penawaran hartanah sewa  di kawasan bandar semakin terhad mengakibatkan harga sewa meningkat. 

“Ada juga penyewa yang memilih untuk menyewa di luar kawasan bandar di mana ada sistem pengangkutan yang efisien seperti penggunaan Mass Rapid Transit (MRT) atau Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang boleh menghubungkan di antara rumah dan tempat kerja mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Jelas Amiruddin, pasaran sewa hartanah di Malaysia pada 2024 menunjukkan beberapa trend utama seperti kenaikan harga sewa, permintaan untuk hartanah lebih kecil serta peningkatan penawaran sewa di kawasan tertentu.

“Selepas dunia pulih dari wabak Covid-19, kadar Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah tiga kali dinaikkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan secara langsung menaikkan bayaran ansuran bulanan bank (bagi pemilik yang mempunyai pinjaman). 

“Ini menyebabkan pemilik hartanah menaikkan kadar sewa bulanan untuk kontrak baharu. Begitu juga dengan kenaikan bayaran caj servis perumahan berstrata dan cukai taksiran mempengaruhi kenaikan kadar sewa hartanah.

“Bagi penyewa yang terkesan akibat ekonomi yang mencabar ini, ada yang sanggup merendahkan taraf hidup mereka dari sewa rumah di atas tanah ke apartmen di mana mereka boleh mendapat kadar sewa yang lebih murah,” katanya. 

Bagi kawasan tertentu di mana terdapat banyak apartment baharu siap di bina, penawaran terhadap rumah sewa adalah tinggi. 

“Banyak pilihan penyewa boleh lakukan dan boleh mendapat harga sewa yang kompetitif di sebabkan banyak penawaran dan persaingan antara pemilik hartanah untuk segera menyewakan hartanah mereka.

“Secara keseluruhan, pasaran sewa hartanah di Malaysia menunjukkan pertumbuhan po­sitif dengan peningkatan harga sewa dan penawaran, serta permintaan yang kukuh untuk harta­nah bersaiz kecil di kawasan bandar.

Jelas beliau, pasaran sewa hartanah seperti di Putrajaya dilihat menerima permintaan sentiasa meningkat dan penawarannya adalah terhad.

“Antara faktor permintaan meningkat adalah pemindahan kakitangan kerajaan dari negeri lain ke Putrajaya dan mereka terpaksa menunggu lebih dua tahun untuk mendapatkan kuarters kerajaan sehingga menyebabkan mereka terpaksa menyewa dahulu rumah sebelum giliran mereka mendapat kuarters tiba. 

“Faktor lain adalah terdapat empat sekolah antarabangsa di Putrajaya dan berdekatan menyebabkan ramai keluarga asing suka mencari rumah sewa berdekatan supaya persekolahan anak-anak mereka senang di uruskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelasnya, walaupun banyak apartmen baharu di Putrajaya terutamanya apartment Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Perbadanan PR1­MA Malaysia (PR1MA) telah siap, penyewaannya hanya terhad kepada rakyat Malaysia menyebabkan pasaran penyewa antarabangsa menjadi terhad. 

“Penawaran sewa rumah teres di Putrajaya hampir tiada disebabkan kebanyakan pembeli rumah teres akan tinggal sendiri di rumahnya,” katanya. 

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mohamad Fuad Menhat,39 berkata, dia menyewa sejak 2010 itu mempunyai kekangan kewangan untuk membeli rumah melebihi RM300,000. 

“Saya sanggup menyewa dengan bayaran sebanyak RM650 biarpun perlu mengambil masa yang agak lama untuk memiliki rumah sendiri.

“Saya tinggal di Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan dan rumah yang ditawarkan oleh pemaju perumahan sekitar agak tinggi bermula RM400,000. Saya mencadangkan agar pihak kerajaan dan agensi perumahan memandang isu ini dengan serius bagi membolehkan rakyat berpeluang memiliki rumah sendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×