14 pasangan pengantin diijab kabul beramai-ramai

14 pasangan pengantin diijab kabul beramai-ramai

PASANGAN yang melangsungkan pernikahan pada Majlis Nikah Jamaie Syarie kali ke-6 di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh, semalam. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Melangsungkan perkahwinan secara beramai-ramai pada Majlis Nikah Jamaie Syarie di Masjid Sultan Idris Shah II dekat sini semalam, menjadi kenangan terindah buat 14 pasangan dalam hidup mereka.

Pasangan raja sehari, Lokman Nor Hakim Azlina Afandi, 23, dan Azren Razlan, 20, berkata, dia dan isteri berasa bertuah menyertai program tersebut yang disifatkan sebagai rezeki untuk membina keluarga.

Menerusi program berkenaan katanya, urusan majlis perkahwinan dipermudahkan dari segi kos perbelanjaan dan perjalanan program sekali gus membantu pasangan pengantin baharu untuk lebih berjimat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cadangan untuk menyertai majlis ijab kabul ini adalah daripada ibu saya dan apabila bincang bersama keluarga pasangan, mereka juga bersetuju

“Kami gembira menjadi antara pasangan yang dinikahkan pada hari ini. Tidak semua orang bertuah dan ini rezeki yang Allah kurniakan untuk memudahkan urusan pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd. Faizul Uzairi, 42, berkata, dia mengetahui mengenai program itu melalui laman sosial Facebook dan menyuarakan hasrat untuk menyertai majlis berkenaan kepada pasangan, Noor Farhana Yang Ghazali, 37.

Katanya, selepas mendapat persetujuan kedua-dua keluarga, mereka kemudian mendaftar sebagai peserta dan membuat pembayaran RM1,500 setiap seorang.

“Ini peluang kami untuk mendirikan rumah tangga dengan cara menjimatkan kos, cepat dan mudah. Insya-Allah, selepas ini kami akan adakan kenduri sambut menantu di Tapah pada awal Februari nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, Majlis Nikah Jamaie Syarie itu merupakan penganjuran kali keenam dan terbuka kepada semua golongan terutama bagi pernikahan kali pertama dan golongan kurang berkemampuan.

Katanya, setiap pasangan perlu membayar RM3,000 merangkumi kos akad nikah, majlis resepsi dan hotel penginapan kepada pasangan pengantin.

“Kos RM3,000 ini sangat minimum di mana setiap pasangan hanya membayar RM1,500 dengan kita turut menyediakan pelamin untuk mereka bersanding.

“Pada majlis ini, setiap pasangan juga dibenarkan membawa keluarga seramai 70 orang untuk sama-sama meraikan hari bahagia mereka,” katanya.

Program anjuran JAIPk dengan kerjasama Masjid Sultan Idris Shah II itu bermula pukul 9 pagi dengan khutbah nikah disampaikan oleh Imam Besar, Abdul Farid Salleh diikuti dengan majlis ijab dan kabul.

Selesai majlis pernikahan, pasangan pengantin berusia antara 20 hingga 49 tahun itu diarak ke pekarangan masjid untuk majlis makan beradab.

Semua pasangan pengantin kemudiannya dibawa ke sebuah hotel di bandar raya ini secara konvoi sebelum meneruskan majlis resepsi yang akan diadakan di hotel berkenaan, malam ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini