Titi gantung runtuh: Kelantan rakam penghargaan kepada PM

Titi gantung runtuh: Kelantan rakam penghargaan kepada PM

Rombongan pengantin lelaki balik dengan meredah Sungai Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai, selepas titi gantung runtuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tindakan pantas beliau mengarahkan peruntukan segera disediakan bagi menggantikan titi gantung di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, kelmarin kelmarin.

Pada Khamis lalu, lebih 50 tetamu menghadiri majlis per­kahwinan berdepan detik cemas apabila titi gantung di Su­ngai Chatel Damai, Lata Rek di sini runtuh secara tiba-tiba menyebabkan mereka terjatuh ke dalam sungai.

Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai telah diarah untuk menyelaras segala urusan berkaitan projek penggantian titi gantung itu bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, tindakan itu bertujuan memastikan kerja penggantian jambatan dapat disegerakan dan dilaksanakan secara teratur.

“Kerajaan negeri komited untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan demi menjamin kebajikan rak­yat serta memastikan kemudahan awam yang selamat.

“Kerjasama itu bagi memastikan kemudahan yang disediakan itu berfungsi dan dapat disediakan sebaiknya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 2 petang Khamis lalu, titi gantung itu dipercayai runtuh apabila rombongan pengantin lelaki bertembung dengan tetamu yang selesai menghadiri ken­duri di atas titi gantung tersebut yang menyebabkan tidak mampu menampung beban.

Sementara itu, rombongan pengantin terpaksa menaiki lori sambil meredah arus sungai yang penuh batu-batuan kecil untuk pulang selepas titi gantung itu runtuh.

Nik Amalina Nikya, 20, berkata, sepanjang menempuh perjalanan hampir seminit itu dia dan ahli keluarga lain di­selubungi perasaan cemas dan takut setiap kali lori tersebut melalui kawasan berbatu.

Katanya, semua perasaan itu hilang sebaik sahaja lori tersebut berjaya melepasi kawasan sungai dengan selamat.

“Semasa berada di atas lori kami semua terumbang-am­bing seperti dilambung ombak. Mujurlah pemandu cekap me­ngendalikan lori sehingga kami semua tiba dengan selamat.

“Terima kasih juga kepada penduduk yang banyak membantu kami di pihak rombongan lelaki,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×