2 beradik berkeperluan khas pembelajaran harumkan nama Melaka

Sukan stacking: Dua beradik berkeperluan khas pembelajaran harumkan nama Melaka

Nur Farizah Md. Zulaili (kiri) dan Nur Farisya Iman (kanan) menunjukkan pingat yang dimenangi di Kejohanan Sukan Stacking Asia ditemani ibu bapa mereka di SK Dato’ Naning, Alor Gajah, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Dua beradik yang juga murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) pembelajaran, mencipta nama bagi kategori special stacker di Kejohanan Stacking Asia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dua beradik itu ialah Nur Farisya Iman Md. Zulaili, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Talib Karim dan adiknya, Nur Farizah Md. Zulaili, 10, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Naning berpeluang beraksi di Kejohanan Sport Stacking Dunia di Switzerland, Mac tahun depan.

Ibunya, Norliza Md. Yusof, 46, berkata, pada Kejohanan Asia di Kuala Lumpur bagi ka­tegori special stacker, Nur Farizah muncul juara keseluruhan manakala adiknya di tempat ke empat keseluruhan.

“Berdasarkan prestasi tersebut kakaknya berpeluang cerah untuk melayakkan diri ke Switzerland Mac tahun depan, manakala adiknya perlu me­ningkatkan usaha untuk memenangi lebih banyak kejohanan di peringkat negeri tahun depan.

“Saya sebenarnya amat berbangga dengan pencapaian dua anak saya walaupun mereka ini sebagai MBPK kerana ketidakupayaan pembelajaran tetapi mereka cenderung dengan sukan stacking.

“Saya harap kedua-dua anak saya dapat melayakkan diri ke Kejohanan Sport Stacking Dunia di Switzerland nanti,” katanya ketika ditemui di SK Dato’ Na­ning, di sini baru-baru ini.

Norliza berkata, sukan stac­king masih baharu dalam kala­ngan murid MBPK tetapi ia mampu meningkatkan kemahiran fizikal seperti koordinasi mata-tangan, kepantasan dan fokus.

“Mungkin ramai tertanya-tanya sukan menyusun cawan tetapi ia sebenarnya dapat meningkatkan keyakinan diri, kerja berpasukan dan semangat kesukanan yang baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×