Dividen KWSP diunjur meningkat hasil prestasi pelaburan positif

Dividen KWSP diunjur meningkat hasil prestasi pelaburan positif, ekonomi stabil

KADAR dividen KWSP dijangka meningkat ekoran pertumbuhan ekonomi semakin baik.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka kekal kompetitif hasil daripada prestasi pelaburan yang positif serta pertumbuhan ekonomi negara yang stabil sepanjang tahun ini.

Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, kadar dividen yang akan diumumkan bergantung kepada beberapa faktor utama termasuk pertumbuhan ekonomi semasa dan prestasi pelaburan KWSP.

Kata beliau, indikator ekonomi semasa seperti kadar inflasi yang terkawal, kadar pengangguran yang rendah, serta peningkatan pelaburan dalam sektor-sektor utama negara turut menyumbang kepada unjuran dividen yang positif

Memuatkan artikel berkaitan…

“KWSP adalah lubuk pelaburan utama negara kerana pencarumnya datang daripada pekerja sektor swasta. Pertumbuhan ekonomi negara yang stabil memberi kesan positif kepada prestasi pelaburan KWSP, baik dalam pelaburan konvensional mahupun patuh syariah.

“Apabila pulangan pelaburan adalah tinggi, ahli KWSP akan menerima manfaat daripada dividen yang lebih baik. Faktor pertumbuhan ekonomi ini menjadi asas kukuh untuk pemberian dividen yang mampan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan ramalan pakar ekonomi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan dividen pada kadar antara 5.7 peratus hingga enam peratus tahun ini.

Jangkaan kadar itu lebih baik berbanding 5.5 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.4 peratus untuk Simpanan Syariah bagi 2023.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, prestasi Bursa Malaysia yang mencatatkan peningkatan lebih 10 peratus tahun ini juga menjadi faktor utama yang menyokong kadar dividen KWSP.

Menurutnya, KWSP perlu terus memperluas pelaburan antarabangsa untuk memastikan pencapaian dividen yang mampan dalam jangka masa panjang.

“Kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 5.9 peratus pada suku kedua dan 5.3 peratus pada suku ketiga tahun ini menunjukkan ekonomi Malaysia berada dalam landasan yang baik.

“Strategi pelaburan yang pelbagai dan mampan adalah penting untuk memastikan KWSP kekal relevan sebagai institusi pelaburan utama negara,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×