38 maut, 29 terselamat dalam nahas pesawat Azerbaijan Airlines

38 maut, 29 terselamat dalam nahas pesawat Azerbaijan Airlines

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASTANA: Seramai 38 penumpang disahkan maut manakala 29 lagi terselamat dalam nahas pesawat Azerbaijan Airlines yang terhempas di barat Kazakhstan, semalam.

Pesawat Embraer 190 yang dijadualkan berlepas dari Baku menuju ke Grozny di Chechnya, Russia dilencongkan daripada laluan asal dan terhempas berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan.

Azerbaijan Airlines melaporkan terdapat 67 orang di dalam pesawat, melibatkan 62 penumpang dan lima anak kapal.

Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Kanat Bozumbayev mengesahkan seramai 38 penumpang maut dalam nahas itu.

Kementerian Situasi Kecemasan Kazakhstan pula melaporkan, 28 mangsa terselamat termasuk dua kanak-kanak kini dimasukkan ke hospital.

Menurut Kementerian Pengangkutan Kazakhstan, pesawat itu membawa 37 warga Azerbaijan, enam dari Kazakhstan, tiga rakyat Kyrgyztan dan 16 dari Russia.

Pesawat yang didaftarkan sebagai 4K-AZ65 itu dilihat dalam konfigurasi pendekatan pendaratan dan kelihatan bergelut untuk mengekalkan kawalan semasa percubaan mendarat cemas di Lapangan Terbang Aktau.

Kazakhstan membuka siasatan berhubung nahas itu.

Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev mengisytiharkan Khamis sebagai hari berkabung negara dan membatalkan lawatan dirancang ke Russia untuk sidang kemuncak tidak rasmi pemimpin Negara-Negara Komanwel (CIS).

Pasukan penyiasat yang diketuai Timbalan Peguam Negara Azerbaijan juga dihantar ke Kazakhstan bagi menjalankan siasatan di lokasi nahas.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×