Niat, tarawih, puasa bagi yang kerja berat - Utusan Malaysia

Niat, tarawih, puasa bagi yang kerja berat

Mari membetulkan lafaz niat puasa mengikut tatabahasa Arab yang tepat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramadan sudah berlalu dua minggu. Namun tidak terlambat untuk kita belajar beberapa perkara penting dalam bulan mulia ini. Ia supaya tidak melakukannya pada masa akan datang atau sebagai ilmu yang dapat berkongsi bersama. Kesalahfahaman memang biasa terjadi terutama isu-isu yang bersifat mendalam yang biasa orang awam tertinggal untuk memperhatikannya.

Isu pertama dan terpenting ialah niat puasa. Seperti yang semua ketahui, bahawa niat puasa wajib dalam Ramadan mestilah dilakukan pada waktu malam sebelum masuk waktu subuh.

Kalau ada yang terlupa untuk berniat di dalam hatinya pada malam hari maka puasanya esok hari tidak sah dan wajib menahan daripada makan minum untuk menghormati orang lain dan mengqada puasa setelah Ramadan.

Banyak dalam kalangan kita juga memilih berniat dalam Bahasa Arab kerana kecintaan umat Islam kepada bahasa syurga ini. Walau bagaimanapun banyak yang tersebar di TV dan Radio ternyata ada kesalahan tatabahasa Arab. Sehinggakan cerita animasi tanah air juga tersalah menyebutkannya kerana kurangnya ilmuwan mengingatkan mereka kesalahan-kesalahan yang kecil ini.

Misalnya, dalam niat berpuasa sudah lazim kita dengar bacaan: Nawaitu sauma ghadin an ada’i fardhi shahri Ramadhana hazihi sanati liLlahi ta’ala. Akan tetapi, bacaan yang betul bukan; RamadhanA walhal: RamadanI dengan dibaca baris bawah huruf ‘Nun’nya kerana secara tatabahasa Arab; Isim Ghayr al-Munsharif, apabila menjadi mudhaf ia kembali seperti biasa iaitu boleh menerima baris bawah.

Ini berdasarkan kaedah yang disebutkan oleh Imam Muhammad Ibn Malik (w. 672H) di dalam Alfiyyahnya yang terkenal dalam bab al-I’rab. Maka yang sahih adalah Nawaytu sauma ghadin an ada’i fardhi shahri Ramadhani hazihi sanati liLlahi taala.

Perkara ini telah diingatkan oleh salah seorang ulama besar nusantara dari Jawa Timur iaitu Sheikh Mahfudz Termas (w. 1338H/1920M) yang menyebutkan di dalam kitabnya Hasyiah al-Tarmasi ala al-Muqaddimah al-Hadramiyyah (3/531-532).

Katanya, jika tetap mahu membaca ‘Ramadhana’ dengan baris atas maka kalimat setelahnya mestilah dibaca baris atas juga sebagai Zorof iaitu Nawaytu sauma ghadin an ada’i fardhi shahri RamadhanA hazihi sanatA liLlahi ta’ala.

Apapun itu, masyarakat tidak perlu risau kerana kesalahan ini tidak membatalkan ibadah puasa. Sebabnya dalam hal niat ialah keutamaan memasukkan sengaja melakukan ibadah tersebut di dalam hati walau lidah tersalah sebut.

 

Kitab Sheikh Mahfudz Termas dalam fikah Syafie menjadi rujukan ulama Syafie sedunia.

Isu kedua yang banyak menjadi persoalan masyarakat ialah jumlah rakaat solat sunat tarawih.

Mazhab al-Syafie misalnya menetapkan jumlah rakaat tarawih ialah 20 rakaat. Ada pula dari kelompok lain yang berpendapat lapan rakaat tarawih serta tiga witir dan tidak boleh melakukan lebih 11 rakaat kerana termasuk di dalam bidaah yang dikeji serta sesat.

Misalnya, seorang ahli hadis yang enggan bermazhab, Sheikh Nasir al-Din al-Albani (w. 1999M) berkata di dalam kitabnya Salat al-Tarawih (m/s: 22): “Tidak boleh melakukan solat tarawih lebih daripada 11 rakaat”.

Pernyataan ini sangat mengundang provokasi kepada ulama mazhab al-Syafie kerana Imam al-Syafie (w. 204H) di dalam al-Umm (1/167) memilih 20 rakaat dengan alasan mengikuti sunnah yang dilakukan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a.

Sayangnya polemik ini masih terjadi sehingga hari ini dengan muncul perdebatan apakah lapan, 11 11 atau 20? Bukankah solat tarawih itu sunat, maka solat sunat sebaiknya dilakukan dengan ikhlas dan hati yang tenang serta terbuka.

Ia bukanlah ibadah yang sepatutnya dijadikan pertikaian dan pertelingkahan. Oleh itu, bekas Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan (1977-1981), Datuk Muhammad Ghazali Abdullah mengeluarkan sebuah kitab yang menjawab tohmahan orang terhadap perkara khilaf ulama dengan judul Alasan-Alasan Yang Kukuh Pada Menyatakan Dalil-Dalil Masalah Khilafiah [28-33].

Di dalam risalah ini, beliau membawakan pelbagai dalil dan hujah bahawa solat tarawih sunat dilakukan sebanyak 20 rakaat dan tiada ditegah melakukan 20 rakaat seperti yang dilakukan oleh Saidina Umar al-Khattab.

Ini kerana sabda baginda Rasulullah SAW: Wajib atas kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa’ Rashidin dan peganglah dengan kukuh. (Hadis hasan sahih riwayat Imam al-Tirmidzi dan Abu Daud)

Melihat hakikat hukum solat tarawih adalah sunat, maka sewajarnya pandangan serong tidak dilontarkan kepada orang yang melakukan 20 atau 11 atau lapan.

Isu ketiga ialah tentang puasa orang yang melakukan pekerjaan berat. Seperti lazimnya, setiap individu muslim mesti memiliki bidang kerja masing-masing yang berbeza antara satu dengan yang lain.

Ada yang ditakdirkan oleh Allah SWT bertugas membanting tulang di pusat-pusat pembinaan, sawah padi, lombong dan gunung-ganang sehinggakan bermandi peluh kerana kepanasan atau kepenatan. Lebih-lebih lagi dalam bulan puasa ketika ini, ada kalangan mereka yang memilih tidak berpuasa sama sekali kerana menganggap dia tidak mampu berpuasa demi pekerjaannya.

Dalam masalah ini, salah seorang mufti mazhab al-Syafie di Tarem, Yaman; Syed Abd al-Rahman Ba’alwi (w. 1320H) di dalam Bughyah al-Mustarsyidin [112-113] menjelaskan, orang tersebut boleh untuk berbuka ketika dia tidak mampu.

Walau bagaimanapun, dia hanya boleh berbuka apabila pekerjaan tersebut memang tidak dapat ditunda pada waktu malam atau setelah Ramadan. Dia juga wajib berniat puasa pada malam hari dan mengawali harinya dengan berpuasa sehinggalah dia tidak mampu baru boleh baginya untuk berbuka puasa setelah itu.

Wajib juga dia mengqada puasanya setelah Ramadan sebelum masuknya Ramadan yang akan datang. Semoga dengan pencerahan ini dapat membuat amal ibadah kita diterima Allah SWT dan sentiasa berpaksikan ilmu.

  • PENULIS ialah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM & Felo Kehormat IKIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×