KETIKA pandemik Covid-19 melanda, kebanyakan sektor ekonomi menghadapi perubahan drastik untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu. Dalam konteks industri perkhidmatan, termasuk kedai gunting rambut, perubahan ini melibatkan pengenalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Untuk mematuhi arahan kerajaan, pengusaha kedai gunting rambut terpaksa membeli peralatan perlindungan diri (PPE), apron pakai buang, pelitup muka, pelindung muka, dan cecair pensanitasi tangan. Langkah ini tidak hanya meningkatkan kos operasi, malah menyebabkan kenaikan harga perkhidmatan.
Ketika itu, kenaikan harga perkhidmatan gunting rambut dilihat sebagai langkah yang wajar. Sebagai contoh, di Kelantan, harga gunting rambut meningkat daripada RM20 kepada RM25 untuk orang dewasa, dan daripada RM15 kepada RM20 untuk kanak-kanak. Di Kuala Lumpur dan Selangor, terdapat kedai yang menaikkan harga sebanyak RM10 hingga RM15, bergantung pada lokasi dan jenis perkhidmatan.
Kenaikan ini juga disokong oleh persatuan penggunting rambut yang menyatakan bahawa kos tambahan seperti apron pakai buang yang hanya boleh digunakan sekali sahaja, pelitup muka, dan pensanitasi tangan adalah perlu untuk mematuhi SOP dan melindungi kesihatan pelanggan serta pekerja. Tambah mereka pengusaha tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga untuk menampung kos tersebut.
Kerajaan ketika itu memahami situasi pengusaha kedai gunting rambut dan memberi kelonggaran untuk mereka mengenakan caj tambahan yang munasabah.
Kini, setelah Covid-19 berakhir dan SOP dilonggarkan, keperluan terhadap PPE dan langkah perlindungan tambahan telah berkurangan. Namun, harga perkhidmatan gunting rambut masih kekal tinggi. Situasi ini menimbulkan persoalan: Mengapa harga tidak kembali ke paras pra-pandemik?
Tanpa kos tambahan seperti apron pakai buang dan pelindung muka, alasan untuk mengekalkan harga tinggi tidak lagi relevan. Malah, tindakan ini boleh dianggap tidak adil kepada pengguna yang sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurut kajian oleh Bank Negara Malaysia, purata isi rumah di Malaysia membelanjakan lebih banyak untuk kos perkhidmatan dan barangan asas berbanding tahun-tahun sebelumnya. Dengan inflasi yang terus meningkat, harga gunting rambut yang kekal tinggi hanya menambah beban kepada masyarakat, terutamanya golongan B40 dan M40.
Menurunkan harga perkhidmatan gunting rambut bukan sahaja akan meringankan beban kewangan pengguna, tetapi juga menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab sosial pengusaha kedai gunting rambut. Selain itu, langkah ini juga sejajar dengan semangat keadilan ekonomi.
Apabila kos operasi kembali normal, wajar bagi harga perkhidmatan juga untuk mencerminkan perubahan tersebut.
Kami menyeru pengusaha kedai gunting rambut untuk mengambil inisiatif dalam mengkaji semula struktur harga perkhidmatan gunting rambut. Persatuan boleh menetapkan garis panduan baharu yang lebih munasabah, berdasarkan kos operasi semasa yang lebih rendah.
Pengusaha juga disaran untuk memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan dan mempromosikan perkhidmatan mereka sebagai berpatutan dan berkualiti. Dengan langkah ini, mereka boleh menarik lebih ramai pelanggan dan mengekalkan perniagaan jangka panjang.
Dalam situasi ekonomi yang mencabar, sudah tiba masanya industri perkhidmatan, termasuk kedai gunting rambut, memainkan peranan mereka untuk membantu mengurangkan beban pengguna. Dengan menurunkan harga perkhidmatan kembali ke paras pra-pandemik, pengusaha bukan sahaja menunjukkan tanggungjawab sosial, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan. – UTUSAN
OULED KENITRA
Klang










