Pakej haji murah ada risiko ditipu

Pakej haji murah ada risiko ditipu

MOHD. Hisham Harun (depan, lima dari kiri) bergambar bersama para pengendali jemaah haji dan tetamu yang hadir dalam sidang akhbar sempena Majlis Pra Pelancaran Karnival Haji Umrah Dan Pelancongan Kali Ke-3 di Menara Kuala Lumpur , semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jemaah haji berisiko untuk ditipu oleh syarikat-syarikat swasta yang menawarkan harga pakej lebih murah dalam usaha mereka untuk menarik le­bih lebih ramai pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, masyarakat perlu berurusan dengan 37 syarikat yang sudah dilantik oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).

“Kita takut apabila ada pihak yang menawarkan harga jauh lebih murah, tetapi pada akhir­nya bakal-bakal jemaah itu tidak dapat pergi kerana tertipu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, media melapor­kan Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA) menggesa TH memantau pakej haji yang ditawarkan oleh syarikat swasta.

Presidennya, Dr. Fathir Alhadad berkata, pihaknya mendapati terdapat PJH yang cuba menjadi ‘jaguh’ dengan pakej-pakej harga rendah.

DIBIMBANGI

Mengulas lanjut, Razali ber­kata, tidak salah menunaikan haji dengan cara melancong tetapi dibimbangi cara itu menjadi trend dan meningkatkan kes penipuan.

“Ini terjadi apabila syarikat bukan ‘pemain’ yang ingat mudah untuk membawa jemaah ke Tanah Suci untuk menunaikan haji hingga mereka menjanjikan ‘bukan-bukan’ kepada masyarakat,” katanya.

Ditanya mengenai penetapan harga si­ling, beliau berkata, mekanisme untuk menyaragamkan harga pakej haji tidak sesuai dilakukan.

Ini kerana, jelasnya, pakej haji ditawarkan kepada bakal jemaah adalah mengikut ‘bintang’ dan kemudahan-kemudahan di­tetapkan sesuai dengan kadar harga diletakkan.

“Ada pakej yang lima atau tiga bintang, jadi harga siling memang tidak sesuai untuk ditetapkan dalam penawaran harga pakej haji. Bakal-bakal jemaah kena lihat harga lantai, sekiranya bawah RM20,000 ke RM30,000 maka ia tipu.

“Sebab itu saya ingin menasihatkan untuk masyarakat yang mahu menunaikan haji untuk pergi melalui TH atau PJH sahaja, kalau dengan syarikat lain itu kena menganggap diri mereka pergi ‘melancong’ kerana syarikat itu sudah pasti tidak mempunyai visa haji. Jadi ada rezeki dapatlah menunaikan haji, kalau tiada rezeki makanya tidak,” jelasnya.

MUJAMALAH

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Haji TH, Mohd. Hisham Harun berkata, PJH dilarang untuk mempromosikan visa mujamalah di semua platform kerana tidak ada ketentuan dalam mendapatkan visa tersebut.

“Cuma yang tentu adalah visa yang diberikan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada Malaysia adalah (sebanyak) 31,600, itu (sahaja) yang pasti.

“Tetapi visa mujamalah tidak ada kepastian (mengenai) berapakah (jumlah) yang akan diberikan dan siapakah akan dapat (visa tersebut). Maka lebih baik PJH tidak mengiklankan visa itu,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Prapelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Ke-3 (KHUP 3) di Menara Kuala Lumpur, di sini semalam.

Visa mujamalah ialah visa yang dianugerahkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada orang-orang tertentu serta individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat serta kementerian-kementerian yang sama dengannya di Malaysia.

Beliau berkata, visa itu selalu di salah guna oleh syarikat pelancongan dengan mendakwa ada visa haji tetapi sebenarnya tiada hingga menyebabkan jemaah haji terkandas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×