Inspirasi flora, puteri kayangan pada batik

Inspirasi flora, puteri kayangan pada batik

DYLAn Ang Zhi Liang (tengah) bersama model yang menggayakan rekaan batik canting.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REKAAN batik ciptaan pelajar Malaysia Institute of Art (MIA) yang dipaparkan pada pertandingan Miss World Kebaya menarik perhatian ramai.

Hasil rekaan penuh imaginatif berasaskan keindahan alam semula jadi dan kisah puteri kayangan menghasilkan himpunan pakaian dengan motif serta rona mengagumkan.

Antara rekaan yang cukup menarik perhatian adalah sentuhan Russell Chin yang menerapkan motif bunga menggunakan teknik batik ke atas kain, seluar dan baju untuk lelaki.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bunga tekoma yang indah dan banyak tumbuh di tepi jalan raya, seakan sakura yang mekar berwarna merah jambu menjadi sumber ilham untuk saya menghasilkan rekaan di atas kain satin sutera.

“Berlatarbelakangkan warna hijau mewakili kesegaran alam semula jadi, bunga tengkoma kelihatan menyerlah tetapi lembut dan menghasilkan aura anggun pemakai,” katanya baru-baru ini.

Selain batik, Chin juga memaparkan koleksi cheongsam moden dengan potongan bergelembung di bahagian lengan baju.

Cheongsam berpotongan gaun pendek dan kembang serta labuh kelihatan anggun apabila digayakan.

Bagi menampilkan kemewahan rekaannya, Chin memilih menggunakan fabrik broked yang berkilau untuk cheongsam rekaannya bagi tampak glamor apabila digayakan terutama pada waktu malam.

Rekaan cheongsam Yin En juga tidak kurang hebatnya. Potongan cheongsam menggabungkan jaket pendek daripada broked keemasan yang dihiasi butang cheongsam dengan lengan kembang daripada kain sutera.

Ia dipadankan dengan seluar kembang dan labuh bagi menampilkan gaya anggun pemakai ketika menghadiri majlis makan malam. Cheongsam merah dengan sarat ropol di bahagian dada dengan kain serong berpotongan skirt, turut menyerlahkan gaya pemakai.

“Koleksi saya berinspirasi daripada kisah sekumpulan puteri jelita yang ingin bergembira ke majlis keraian dengan menggayakan pakaian tradisional.

“Bagaimanapun mereka ingin tampil berbeza dengan pakaian tradisional yang diberi sentuhan lebih anggun kerana majlis berkenaan turut dihadiri puteri dari pelbagai era. Mereka tampil dengan pakaian tradisi potongan moden menggunakan fabrik moden,” katanya.

Koleksi rekaan Chaw Kwee Ek, Abner Goh Shang Rong dan Dylan Ang Zhi Liang menampilkan tema ‘pasang surut langit’ (tidal of the sky), menggunakan teknik canting bagi menghasilkan motifnya.

Gaun labuh paras lutut berpotongan seakan kebaya di bahagian depan dipadankan dengan kain kembang payung.

Manakala, lelaki tampil bergaya dengan baju berkolar, labuh sehingga ke paras tumit serta lengan panjang.

Dylan berkata, warna yang digunakan diilhamkan daripada cat tradisional Cina iaitu kuning dan hitam sebagai latar belakang pakaian yang dihasilkan.

“Unsur yang ditampilkan dalam koleksi ini adalah berinspirasikan awan megah yang berulang di bahagian badan dan bahagian sempadannya adalah ombak laut.

“Semua rekaan menggunakan teknik tradisional iaitu batik dan kami melakukan teknik canting tangan pada fabrik viscose. Semua reka bentuk menggunakan warna hitam dan kuning untuk menghasilkan kontras yang lebih mewah, tenang, moden dan mistik,” katanya.

Pereka Lim Claudia turut menghasilkan koleksi rekaan cheongsam moden berinspirasikan elemen metalik menggabungkan warna hitam dan putih.

Baju pendek berkolar dan butang tradisional cheongsam berona hitam digandingkan dengan skirt bermotif abstrak berwarna hitam putih. Baju labuh tanpa lengan dengan motif serupa pada skirt, digandingkan dengan kain hitam.

“Koleksi cheongsam moden ini berinspirasikan elemen metalik dengan sentuhan moden yang menonjol digabungkan dengan reka bentuk tradisional. Saya menggabungkan fabrik metalik untuk mengukuhkan lagi tekstur dan perincian pada koleksi ini, “katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini